Khamis, 24 March 2022 | 12:51pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

PKS mesti dibantu dapatkan pembiayaan peringkat awal

KUALA LUMPUR: Malaysia mesti memperkukuh ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama berkaitan pembiayaan peringkat awal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, menyokong PKS dan menyediakan pembiayaan peringkat awal adalah penting untuk memudahkan firma yang produktif dan inovatif.

"Inovasi, seperti yang kita semua tahu, adalah salah satu pemacu yang paling memberi kesan kepada peningkatan produktiviti.

"Dasar inovasi berserta ekosistemnya adalah penting untuk menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada output yang menjana keuntungan yang didorong oleh produktiviti,'' katanya berucap pada sesi maya 'Inovasi Mendorong Pertumbuhan di Malaysia' oleh Bank Dunia, hari ini.

Beliau berkata, dengan berbuat demikian, PKS Malaysia akan menikmati tahap produktiviti yang lebih tinggi dan dapat merapatkan jurang dengan rakan serantau.

Mustapa berkata, PKS yang terdiri daripada lebih 97 peratus firma yang beroperasi di Malaysia, mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam peralihannya kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

"Malaysia sedang beralih ke arah inovasi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi seterusnya dengan produktiviti pelbagai faktor dijangka menyumbang 40 peratus kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"PKS juga bersedia untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam ekonomi, menyumbang kira-kira 45 peratus daripada KDNK dan 25 peratus daripada jumlah eksport menjelang 2025," katanya.

Justeru, beliau menambah pada masa hadapan, penyepaduan pelbagai dasar dan penyelarasan antara kementerian dan agensi yang berbeza akan menjadi kunci dalam agenda inovasi dan pembaharuan ini.

Mustapa berkata, laporan Bank Dunia bertajuk Penilaian Ekosistem Pembiayaan Permulaan dan Kajian Kecekapan Program PKS menyediakan cadangan yang akan memberikan input ke arah matlamat Malaysia untuk mentransformasikan PKS mikro sebagai pemacu pertumbuhan baharu.

"Kita maklum akan jurang yang dikenal pasti oleh dua laporan Bank Dunia itu mengenai ekosistem pembiayaan untuk syarikat pemula niaga.

"Salah satu pemerhatian ialah pembiayaan cenderung tersedia untuk pemula niaga peringkat kemudian berbanding peringkat awal," katanya.

Laporan Bank Dunia juga mengetengahkan keperluan untuk Malaysia mengurangkan halangan kemasukan bagi firma inovatif dan mewujudkan saluran untuk firma unicorn pada masa hadapan.

Menjelang 2025, Malaysia menyasar untuk mempunyai lima unicorn dan 5,000 syarikat permulaan (pemula niaga).

"Ketersediaan pembiayaan peringkat awal akan menjadi alat terbaik untuk menggalakkan kemunculan firma-firma inovatif sedemikian.

"Laporan 'Kajian Kecekapan Program PKS' khususnya akan membantu kita mengenal pasti peluang untuk mengurangkan pertindihan dan meningkatkan kecekapan dan seterusnya memastikan program kerajaan bertindak balas terhadap keperluan PKS yang paling mendesak,'' kata Mustapa.

-BERNAMA

Berita Harian X