Ahad, 2 Januari 2022 | 12:41pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir (tengah) semasa melancarkan pertandingan AmBank BizRACE musim ketiga
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir (tengah) semasa melancarkan pertandingan AmBank BizRACE musim ketiga

AmBank BizRACE iktiraf sembilan PKS

KUALA LUMPUR: Sembilan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) baru-baru ini dinamakan sebagai syarikat yang terbaik dalam pertandingan AmBank BizRACE musim ketiga.

AmBank BizRACE musim kali ini mencipta kelainan tersendiri apabila mempunyai tiga kategori iaitu Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), Pendigitalan dan Pencarian Halal.

Syarikat Comebest Malaysia Sdn Bhd dinobatkan sebagai pemenang pertama diikuti LTP Engineering Sdn Bhd di tempat kedua dan Mayflax Sdn Bhd di tempat ketiga bagi kategori IR4.0.

Bagi kategori Pendigitalan pula, ia dimenangi oleh BloomThis Flora Sdn Bhd, Matahari Sdn Bhd (kedua) dan Forest House Sdn Bhd (ketiga).

Doluvo Sdn Bhd pula menjadi juara bagi kategori Pencarian Halal diikuti LM International Sdn Bhd (kedua) dan Ira Noah PLT (ketiga).

AmBank berkata, sembilan syarikat itu adalah antara 2,000 syarikat yang menyertai pertandingan AmBank BizRACE musim ketiga.

Katanya, ia juga kali pertama dianjurkan secara maya sepenuhnya disebabkan keperluan semasa ketika ini.

"Bagi kategori IR 4.0 dan Pendigitalan, peserta menjalani perundingan geran satu sama satu untuk menilai rancangan perniagaan dan cadangan geran mereka sebagai persediaan untuk permohonan.

"Melalui kerjasama AmBank dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), peserta AmBank BizRACE turut menerima lebih daripada RM14 juta kelulusan geran.

"Geran Automasi Pintar (SAG) yang diselia oleh MIDA mempunyai peruntukan geran sebanyak RM100 juta, di mana 14 peratus daripadanya berjaya diperoleh oleh peserta AmBank BizRACE.

"Bagi Pencarian Halal pula, ia bertujuan membantu PKS mendapatkan pandangan tentang pasaran halal dan menuju ke arah mencapai pensijilan halal," katanya.

Ambank berkata, bagi kategori Pencarian Halal, ia menarik minat penyertaan daripada pelbagai industri dan sektor seperti kosmetik, makanan dan minuman, farmaseutikal, pembuatan serta logistik.

Katanya, AmBank Islamic dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation (HDC),

"Peserta industri turut menganjurkan sesi pembinaan kapasiti untuk melengkapkan peserta dengan pengetahuan yang berkaitan pasaran halal," katanya.

Finalis disenarai pendek berdasarkan strategi perniagaan mereka dan kesediaan untuk menceburi bidang tumpuan masing-masing.

Berita Harian X