Selasa, 7 Disember 2021 | 6:05pm
Ketua Pegawai Eksekutif, CMI Hall & Event Space, Azri Che Mukhtar (tujuh dari kiri) menerima geran padanan Program Peningkatan Keupayaan Bumiputera (BEEP) berjumlah RM1.3 juta pada akhir November lalu di Kuantan, Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif, CMI Hall & Event Space, Azri Che Mukhtar (tujuh dari kiri) menerima geran padanan Program Peningkatan Keupayaan Bumiputera (BEEP) berjumlah RM1.3 juta pada akhir November lalu di Kuantan, Pahang.

Jana lebih RM1 juta dalam 2 bulan selepas PKP

KUALA LUMPUR: Bantuan disalurkan SME Corporation Malaysia (SME Corp) melonjakkan perniagaan pengurusan acara milik seorang anak muda apabila meraih jualan melebihi RM1 juta dalam tempoh dua bulan beroperasi semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif, CMI Hall & Event Space, Azri Che Mukhtar, berkata pemberian empat geran padanan dari SME Corp iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) benar-benar menjadi 'nyawa' untuk syarikatnya terus bernafas sepanjang tempoh PKP meskipun tidak boleh beroperasi.

Mengulas lanjut Azri, 32, yang menjalankan perniagaan di Kuantan, Pahang berkata beliau memanfaatkan pemberian dana dengan meningkatkan pemasaran secara besar-besaran khususnya melalui platform dalam talian sepanjang PKP lalu.

"Walaupun tidak boleh beroperasi sepanjang PKP, namun kami gunakan waktu itu untuk melakukan promosi termasuk membanyakkan jumlah pengikut di laman sosial.

"Hasilnya, sebaik sahaja acara dibenarkan semula untuk diadakan dengan kami memulakan operasi semula pada Oktober lalu, hasil jualan kami melebihi RM1 juta malah dewan juga penuh ditempah hingga Mei tahun depan.

"Strategi ke depan kami nampaknya berhasil dengan bantuan SME Corp yang banyak mengubah hidup saya untuk bukan sahaja terus bernafas sepanjang PKP namun turut berkembang," katanya kepada BH, di sini.

Azri adalah penerima geran padanan berjumlah RM200,000 oleh SME Corp pada Pameran Tahunan PKS-SMIDEX 2021 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa sama, Azri berkata beliau menerima bantuan melalui pemberian geran dari SME Corp sejak 2017 membabitkan pembelian mesin percetakan dan promosi.

Beliau berkata, dengan bantuan SME Corp, pihaknya mampu bertahan sepanjang PKP tanpa memberhentikan pekerja atau lebih buruk menutup operasi.

"Ia sekali gus tidak mengganggu aliran tunai kami dalam tempoh amat memerlukan, sekali gus memudahkan perniagaan saya untuk terus maju," katanya.

Mengulas mengenai perancangan tahun depan, Azri berkata pihaknya berhasrat untuk membuka dewan kedua bagi penganjuran acara perkahwinan dalam misi menjadi pemain utama segmen perniagaan itu di Pantai Timur.

Sehingga kini katanya, beliau sudah membuka dewan bagi penganjuran acara di Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang.

Berita Harian X