Khamis, 17 Disember 2020 | 2:28am
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto: NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto: NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Sejumlah RM317.62 juta sudah disalurkan bantu usahawan - MEDAC

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menjelaskan sehingga 7 Disember 2020, sebanyak RM317.62 juta atau 99.3 peratus daripada RM319.76 juta peruntukan yang disediakan di bawah Belanjawan 2020 telah disalurkan kepada kumpulan usahawan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ini adalah pencapaian yang membanggakan kerana ia mencerminkan komitmen MEDAC serta agensinya dalam menyalurkan kemudahan dan pembiayaan secara efisien bagi membantu kumpulan usahawan agar terus berdaya saing dalam kitaran ekonomi.

"Bagaimanapun, saya menyeru agar MEDAC serta agensi supaya jangan terlalu selesa dengan pencapaian ini dan perlu sentiasa membuat penambahbaikan terhadap proses permohonan supaya para usahawan lebih mudah mendapatkan dana atau pembiayaan yang ditawarkan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK), hari ini.

Dalam usaha mempertingkatkan lagi prestasi, pihak pengurusan MEDAC akan terus mengambil tindakan sewajarnya untuk mengenalpasti halangan dan membuat penambahbaikan ke arah mempertingkatkan perkhidmatan penyampaian agensi di bawahnya dalam usaha membantu rakyat.

Langkah ini juga adalah bagi memastikan agenda pembangunan negara terutamanya yang terkandung dalam Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 dapat dilaksanakan dengan jaya.

"Fokus pemulihan ini juga akan diteruskan dalam Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada 2021," katanya.

Selain itu, menerusi Belanjawan 2021, MEDAC telah menerima peruntukan sebanyak RM548.7 juta iaitu RM192.4 juta bagi peruntukan mengurus dan RM356.3 juta untuk program pembangunan.

Peruntukan bagi pembangunan usahawan dalam belanjawan 2021 adalah merentasi kementerian dan agensi di Malaysia.

"Oleh itu, peruntukkan yang diumumkan kepada MEDAC dalam belanjawan 2021 adalah sebahagian kecil daripada keseluruhan peruntukan untuk usahawan dan koperasi di Malaysia," tambah beliau.

Katanya, bagi merealisasikan agenda keusahawanan dan koperasi negara tercapai sepenuhnya, MEDAC akan meningkatkan perkongsian strategik dengan kementerian lain seperti yang digariskan dalam DKN2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

– Bernama

Berita Harian X