Selasa, 1 Disember 2020 | 12:15pm
Ketua Pegawai Eksekutif Bottling Investments Group Malaysia, Singapura dan Brunei, Barry O’Connell.
Ketua Pegawai Eksekutif Bottling Investments Group Malaysia, Singapura dan Brunei, Barry O’Connell.

Coca-Cola bantu perkasa usahawan tempatan

KUALA LUMPUR: Usahawan wanita dan belia seluruh negara kini berpeluang untuk menyertai program keusahawanan Coca-Cola Komuniti Usahawan (Coca-Cola KU) menerusi platform dalam talian yang baharu diperkenalkan oleh Coca-Cola Malaysia.

Coca-Cola Malaysia berkata, pengenalan platform e-pembelajaran itu bertujuan untuk membolehkan usahawan baharu belajar kaedah menguruskan perniagaan merujuk kepada modul yang terdapat di laman sesawang.

"Peserta dapat melengkapkan modul yang disediakan mengikut fleksibiliti mereka tanpa sebarang kos tambahan serta mengendalikan latihan mereka sendiri pada bila-bila masa.

"Coca-Cola KU terbuka kepada semua, terutama bagi mereka yang ingin mempelajari kemahiran baharu dan mahu memulakan perniagaan sendiri dengan sokongan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bottling Investments Group Malaysia, Singapura dan Brunei, Barry O'Connell, berkata program Coca-Cola KU memberi impak dalam membuka potensi keusahawanan serta memberi peluang kepada mereka untuk merealisasikan impian menjadi seorang peniaga yang berjaya.

"Objektif kami adalah untuk melengkapkan individu dengan kemahiran keusahawanan untuk masa depan.

"Sejajar dengan situasi dan cabaran semasa, kami yakin bahawa program ini sangat relevan dalam membantu peserta memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu," kata beliau.

Program Coca-Cola KU terdiri daripada lima modul yang memberi tumpuan kepada tiga bidang iaitu kemahiran perniagaan, akses kepada kredit dan platform ekosistem keusahawanan mikro dengan bimbingan dan juga sokongan rakan peniaga.

"Melalui modul dalam talian ini, peserta akan mempelajari asas perniagaan bermula daripada cara mengembangkan rancangan perniagaan dan menguruskan aliran tunai dan kredit sehinggalah kepada teknik dalam menyediakan perkhidmatan yang inovatif dengan teknologi terkini dalam mengembangkan rancangan pemasaran," tambah kenyataan itu.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDNHEP, Ismainur Hadi Amat Bakeron, berkata walaupun menghadapi cabaran ekonomi kerana pandemik COVID-19, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menjadi salah satu pemacu kepada pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan di Malaysia.

"Justeru, kami yakin bahawa melalui program Coca-Cola KU, ia dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita dan belia dalam meningkatkan taraf hidup dengan memulakan perniagaan mereka sendiri.

"Ini akan dapat memperkasakan bakat anak tempatan dan menyemai budaya keusahawanan, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara keusahawanan berpendapatan tinggi," katanya.

Bagi menggalakkan penyertaan ramai, Coca-Cola akan melakukan jelajah pendaftaran Program Coca-Cola KU di lokasi-lokasi utama di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula hari ini hingga 31 Disember 2020.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai program ini disarankan mendaftar di laman https://ccku.coca-cola.com.my untuk mendapatkan modul latihan secara percuma.

-BERNAMA

Berita Harian X