Selasa, 8 September 2020 | 3:18pm

ScaleUp Malaysia sasar bimbing 24 syarikat pemula

KUALA LUMPUR: ScaleUp Malaysia, melancarkan program ScaleUp Malaysia Cohort 2 dan mencari 24 syarikat pemula (startup) tempatan berpotensi untuk dibimbing dalam program berkenaan.

ScaleUp Malaysia akan bekerjasama dengan Quest Ventures, firma modal teroka yang berpangkalan di Singapura, bagi menjayakan program yang memasuki tahun kedua penganjurannya.

Rakan Pengurusan Quest Ventures James Tan, berkata kerjasama itu akan membawa masuk urus niaga pelaburan langsung asing bernilai AS$1 juta (RM4.15 juta) untuk membangunkan dan mengembangkan syarikat pemula Malaysia dalam program berkenaan.

"Untuk layak menyertai program ini, syarikat pemula perlu beroperasi berdasarkan model perniagaan yang mempunyai kecenderungan untuk mengganggu pasaran sedia ada atau mempunyai penyelesaian yang dapat menghadapi cabaran masa depan dan memanfaatkan peluang daripada iklim ekonomi semasa," katanya di sini, hari ini.

Syarikat pemula boleh memohon untuk menyertai program itu bermula hari ini dengan melayari https://www.scaleup.my/.

ScaleUp Malaysia melancarkan program kohort pertamanya pada Disember tahun lalu dan disertai oleh 20 syarikat pemula tempatan.

Daripada jumlah itu, 10 daripadanya masing-masing menerima pelaburan sebanyak RM200,000.

James berkata, sebanyak 24 syarikat yang disenarai pendek daripada permohonan Cohort 2 akan memulakan perjalanan mereka pada Oktober sebelum mengemukakan penyelesaian mereka kepada jawatankuasa pelaburan pada akhir program.

"Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Scale Up Malaysia Cohort 2 yang diupayakan oleh Quest Ventures akan melabur sekurang-kurangnya AS$60,250 (RM250,000) dalam sehingga 12 syarikat ini," katanya.

Peserta perlu mendaftar sebagai sebuah syarikat Malaysia dan akan disenarai pendek berdasarkan empat kriteria utama -- penjanaan pendapatan, keupayaan untuk menunjukkan produk yang bersesuaian dengan pasaran, potensi produk atau perkhidmatan dengan prospek pertumbuhan yang besar dan kemungkinan pengembangan global.

Sementara itu Rakan Kanan ScaleUp Malaysia, Dr V Sivapalan, berkata kerjasamnya dengan Quest Ventures akan membolehkan syarikat pemula tempatan untuk melonjakkan pertumbuhan mereka.

"Selain itu, mereka juga berpeluang untuk mengakses pasaran negara lain menerusi rangkaian yang dimiliki oleh Quest Ventures," katanya.

Berita Harian X