Selasa, 4 Ogos 2020 | 5:02pm
Pengusaha Nasi Kahwin Hari-Hari, Rudi Farique Tawee Mohd Azmi menunjukan hidangan jualannya pada majlis kempen Rapid KL Support Lokal - NSTP/Rohanis Shukri
Pengusaha Nasi Kahwin Hari-Hari, Rudi Farique Tawee Mohd Azmi menunjukan hidangan jualannya pada majlis kempen Rapid KL Support Lokal - NSTP/Rohanis Shukri

Prasarana promosi percuma peniaga kecil di stesen bas, rel

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd melancarkan kempen 'Rapid KL Support Lokal' bagi membantu mempromosikan secara percuma perniagaan usahawan kecil-kecilan yang berniaga di sekitar kawasan stesen bas dan rel kendaliannya dalam laman sosial Prasarana.

Timbalan Ketua Divisyen Komunikasi & Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Rafizah Amran, berkata publisiti yang diberikan itu adalah untuk membantu melonjakkan semula jualan peniaga kecil yang terkesan oleh langkah kawalan pergerakan dalam membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata, kempen itu terbuka kepada usahawan yang berniaga dalam lingkungan 500 meter dari stesen rangkaian pengangkutan yang dikendalikan Prasarana.

"Tidak ada caj dikenakan. Kempen ini adalah sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) Prasarana dalam mendukung inisiatif kerajaan membantu melonjakkan semula perniagaan pengusaha kecil-kecilan yang terkesan impak penularan COVID dan pada masa sama dapat merangsang ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran kempen berkenaan di sini, hari ini.

Rafizah berkata, setakat ini, 150 gerai usahawan kecil-kecilan berminat untuk menyertai kempen berkenaan dan kebanyakannya adalah mereka yang terbabit dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Beliau berkata, buat masa ini, Prasarana telah memberi publisiti kepada empat peniaga tempatan menerusi laman sosialnya, yang mana sambutan adalah amat menggalakkan.

Katanya, peniaga kecil-kecilan yang telah diberi publisiti menerusi laman media sosial Prasarana ialah Nasi Kahwin Hari-Hari (yang berniaga di MRT Bukit Bintang); Jiju's Café (LRT Putra Heights); Berger KTM JulieSuip (MRT Kajang) dan Nasi Kak Wa (Bas Rapid KL 782, Pantai Dalam) .

Sementara itu, Pengusaha Nasi Kahwin Hari-Hari, Rudi Farique Tawee Mohd Azmi, berkata jualannya meningkat sekali ganda susulan publisiti yang diberikan Prasarana itu.

Beliau berkata, sebelum publisiti, jualannya agak perlahan dan sememangnya perniagaannya terkesan oleh langkah kawalan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19.

"Selepas perniagaan kami dipaparkan di laman sosial Prasarana, setiap hari ramai orang mengunjungi gerai kami terutama pada hujung minggu.

"Kami bersyukur dengan bantuan publisiti yang diberikan Prasarana dan ia sememangnya berhasil dengan ramai golongan muda mengunjungi gerai kami," katanya.

Pada pelancaran kempen 'Rapid KL Support Lokal', Prasarana juga turut menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan swafoto My100/My50 yang berlangsung sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X