Ahad, 24 September 2017 | 11:35pm

Vanila Temerloh 'terbang' ke serata dunia

TEMERLOH: Siapa sangka vanila ditanam di Kampung Parit Bangau, dekat sini, sudah 'menjelajah' ke serata dunia untuk dijadikan bahan perisa bagi juadah makanan atau hidangan pencuci mulut seperti pastri, kek dan ais krim.

Pengusahanya, Mohd Feisal Mohd Norawi, 35, berkata tanaman itu sudah dieksport ke beberapa negara di Asia Barat, Singapura, United Kingdom (UK) dan Jerman.

Malah, katanya, beliau turut mendapat permintaan daripada beberapa syarikat di Amerika Syarikat (AS) namun terpaksa menolaknya kerana pihak berkenaan memintanya membekalkan tanaman itu dalam kuantiti yang besar sekali gus iaitu 100 kilogram (kg).

MOHD Feisal Mohd Norawi menunjukkan vanila yang telah dikeringkan. - Foto Nazirul Roselan
MOHD Feisal Mohd Norawi menunjukkan vanila yang telah dikeringkan. - Foto Nazirul Roselan

VANILA yang telah dikeringkan. - Foto Nazirul Roselan
VANILA yang telah dikeringkan. - Foto Nazirul Roselan

Kakitangan agensi swasta itu berkata, beliau mengusahakan tanaman pokok vanila di tanah seluas 1.2 hektar milik keluarganya sejak 2008 dan mula mengeluarkan hasil empat tahun kemudian.

Katanya, beliau hanya bergantung dengan maklumat diperoleh menerusi internet ketika mula menanam pokok vanila itu, berikutan ia belum ditanam secara meluas dan hampir berputus asa apabila 800 benih pokok ditanamnya tidak mengeluarkan hasil selepas beberapa tahun.

Namun, pada sekitar Mac 2012, beliau terkejut apabila melihat beberapa pokok mengeluarkan bunga dan segera melakukan proses pencantuman bagi mengelakkan bunga berkenaan mati.

"Bunganya hanya mekar satu hari dan kita kena lakukan proses pencantuman sebelum jam 12 tengah hari. Selepas proses pencantuman, esoknya kita boleh lihat sekiranya ia berjaya atau sebaliknya.

"Jika berjaya, kita kena tunggu selama lapan bulan untuk ia menjadi buah sebelum boleh dituai. Selepas itu, buah berkenaan akan melalui proses pengeringan pada cuaca panas selama satu bulan sebelum boleh dijual.

PEKERJA ladang menyembur baja organik pada pokok vanila yang ditaman di Kampung Parit Bangau, Temerloh. - Foto Nazirul Roselan
PEKERJA ladang menyembur baja organik pada pokok vanila yang ditaman di Kampung Parit Bangau, Temerloh. - Foto Nazirul Roselan

MOHD Feisal menunjukkan pokok vanila yang ditaman di Kampung Parit Bangau, Temerloh. - Foto Nazirul Roselan
MOHD Feisal menunjukkan pokok vanila yang ditaman di Kampung Parit Bangau, Temerloh. - Foto Nazirul Roselan

"Prosesnya agak rumit dan sebab itu harganya mahal. Sekarang, harga pasaran sekitar RM1,800 bagi sekilogram vanila gred A. Walaupun mahal, permintaan agak tinggi daripada seluruh dunia," katanya yang mengusahakan tanaman vanila secara sampingan.

Mohd Feisal berkata, ada pembeli dari Asia Barat datang ke kebunnya bagi membeli vanila dikeluarkan dan kemudian mengeksportnya semula ke beberapa negara seperti Jerman dan UK untuk dijadikan rempah ratus.

"Saya difahamkan ia digunakan untuk membuat kek di hotel di luar negara. Permintaannya agak tinggi dan saya sendiri tidak menang tangan menampung permintaan kerana bukan mudah hendak dapatkan hasil dalam tempoh segera," katanya yang turut mempromosikan jualannya menerusi media sosial.

Katanya, vanila yang termasuk dalam spesies orkid yang berasal dari Mexico itu mempunyai potensi kerana ia sesuai ditanam di Malaysia berikutan negara ini terletak di garisan Khatulistiwa.

TANAMAN pokok vanila yang ditaman di Kampung Parit Bangau, Temerloh. - Foto Nazirul Roselan
TANAMAN pokok vanila yang ditaman di Kampung Parit Bangau, Temerloh. - Foto Nazirul Roselan

"Saya adalah antara tiga penanam vanila di Malaysia, selain di Jerantut serta Sabah. Saya masih melakukan penyelidikan dalam usaha menghasilkan vanila organik yang bermaksud tidak menggunakan bahan kimia dan halal digunakan.

"Bantuan daripada kerajaan juga perlu bagi meningkatkan potensi tanaman vanila, antaranya dengan mempermudahkan proses mendapatkan Persijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) dan sijil halal," katanya.

INFO

- Vanila adalah sejenis tumbuhan keluarga orkid yang berasal dari Mexico dan kini banyak ditanam di kawasan tropika.

- Vanila ditemui oleh orang Sepanyol yang diketuai oleh Bernal Diaz del Castillo pada 1952.

- Terdapat 100 jenis spesies vanila tetapi hanya sedikit yang dikenal pasti mempunyai nilai komersil iaitu:

  Vanilla planifolia Andrews

  Vanilla tahitensis JW Moore

Berita Harian X