Ahad, 10 September 2017 | 10:51pm
POKOK roselle boleh mengeluarkan hasil mencecah lebih dua kilogram setiap kali dipetik. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
POKOK roselle boleh mengeluarkan hasil mencecah lebih dua kilogram setiap kali dipetik. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Pesara tentera jadi usahawan roselle

MANJUNG: Bermula hanya sekadar minat untuk menanam pokok roselle akhirnya seorang pesara tentera kini layak digelar usahawan roselle selepas menanam 3,000 pokok berkenaan.

Berdasarkan apa dicapai Alias Ali, 46, usahanya menceburi tanaman pokok berkenaan tidak sia-sia selepas menamatkan perkhidmatan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Julai tahun lalu.

Katanya, hingga kini dia mempunyai 3,000 pokok roselle yang ditanam sejak awal tahun ini di tapak seluas 0.6 hektar dengan setiap pokok boleh mengeluarkan hasil mencecah lebih dua kilogram (kg) setiap kali dipetik.

"Roselle antara tanaman yang mudah dan kurang risiko penyakit yang boleh dipetik ketika berusia tiga bulan setengah hingga empat bulan selepas mengeluarkan putik bunga, kira-kira selepas dua setengah bulan ditanam.

ALIAS (kanan) mengutip bunga roselle yang dijual dengan harga RM5 sekilogram, di Kampung Pasir Pandak, Sitiawan. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
ALIAS (kanan) mengutip bunga roselle yang dijual dengan harga RM5 sekilogram, di Kampung Pasir Pandak, Sitiawan. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

"Ia juga tidak memerlukan air yang banyak dan tanaman yang kaya dengan khasiat ini ditanam daripada jenis UMKL 1 menggunakan tanah gembur berpasir," katanya ketika ditemui di kebunnya di Sungai Limau, Kampung Pasir Pandak, Sitiawan, dekat sini.

Alias berkata, biarpun tanaman itu kaya dengan khasiat seperti vitamin C, roselle masih kurang dikenali malah ada segelintir individu tidak mengetahui kegunaan dan cara memasak buah itu.

"Mengikut carian saya, roselle di negara kita antara terbaik di dunia dan ia mempunyai kelebihan tersendiri serta nilai pasaran yang baik.

ALIAS menunjukkan jus roselle yang sesuai dijadikan minuman harian.- Foto Noor Hidayah Tanzizi
ALIAS menunjukkan jus roselle yang sesuai dijadikan minuman harian.- Foto Noor Hidayah Tanzizi

"Saya sendiri sudah merasai kelebihan buah itu apabila kerap dijangkiti selesema sebelum ini dan menjadikan air roselle sebagai minuman harian, hasilnya sangat baik," katanya.

Alias berkata, setakat ini pasarannya agak terhad memandangkan usaha yang dilakukan masih baru dan hasil dijual kepada penduduk kampung dan rakan yang mengusahakan produk roselle di sekitar daerah ini.

"Hasil dijual dengan harga RM5 sekilogram manakala RM2.50 pada harga borong. Banyak kegunaan buah ini selain dijadikan kordial, roselle juga sesuai dijadikan jus, jeruk, acar, jem dan halwa.

"Malah pucuknya juga boleh ditambah dalam masakan kari atau dibuat ulam yang pasti akan digemari," katanya.

Berita Harian X