Ahad, 21 April 2024 | 9:22am
Maxis Bhd.
Maxis Bhd.

Maxis sedia bina satu lagi rangkaian 5G

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd mengulangi kesediaan pihaknya untuk membina rangkaian 5G kedua selain menyokong sepenuhnya persaingan susulan keputusan kerajaan untuk menggunakan pendekatan dwi-model bagi pelaksanaan rangkaian 5G.

"Kami bersedia untuk membina satu lagi rangkaian 5G dan baru-baru ini telah menunjukkan keupayaan rangkaian 5G-Advanced (5.5G) yang disokong oleh Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," kata jurucakap Maxis kepada Bernama.

Kenyataan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) itu bagi menjawab artikel oleh Channel News Asia (CNA) bertajuk 'Malaysia's billion-dollar 5G roll-out stumbles as deal breaks down between powerful telcos, state-owned operator' yang diterbitkan awal Jumaat lalu.

Menurut artikel itu, perjanjian rangkaian 5G yang dicapai pada awal Disember 2023 di antara pengendali 5G milik kerajaan, Digital Nasional Bhd (DNB), dengan lima syarikat telekomunikasi mudah alih swasta negara masih belum menemui penyelesaian.

Empat syarikat telekomunikasi lain ialah CelcomDigi Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).

Maxis juga menjelaskan bahawa petikan yang dikatakan dikaitkan dengan seorang kakitangannya dalam artikel itu tidak menggambarkan pendirian syarikat sebagai satu daripada MNO itu.

"Maxis sentiasa menyokong persaingan, dan sepenuhnya sejajar dengan keputusan kerajaan mengenai model pelaksanaan 5G," jelasnya.

-BERNAMA

Berita Harian X