Rabu, 17 April 2024 | 3:28pm
Maxis akan menumpukan kepada mengembangkan perniagaan teras iaitu mudah alih, gentian dan perusahaan - Foto Reuters
Maxis akan menumpukan kepada mengembangkan perniagaan teras iaitu mudah alih, gentian dan perusahaan - Foto Reuters

Maxis labur RM813 juta tingkat kapasiti rangkaian mudah alih

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd menyasarkan pelaburan berjumlah RM813 juta yang akan meningkatkan kapasiti rangkaian mudah alih, mengembangkan jejak gentian ke premis dan menambah baik pendigitalan ke seluruh syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng, berkata pada penghujung 2023, Maxis mempunyai lebih 11,000 tapak LTE di Malaysia yang meliputi 95 peratus penduduk dan menghubungkan 181,000 premis tambahan dengan infrastruktur gentiannya.

Beliau berkata, syarikat itu sentiasa mengutamakan pengalaman pelanggan kerana ia membezakan mereka dengan syarikat telekomunikasi lain dalam pasaran yang sangat kompetitif.

"Kami terus merekodkan skor promoter bersih yang tinggi sebanyak +68, terima kasih kepada pelanggan kami yang setia dan kepuasan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami," katanya dalam laporan tahunan Maxis 2023.

Seow Eng berkata, Maxis telah menambah baik Aplikasi Maxis dan Hotlink bagi membolehkan ciri-ciri seperti meningkatkan pelan, membeli peranti, pas perayauan dan tambah nilai kredit yang boleh diselesaikan dengan hanya klik seminimum yang mungkin.

Ia juga akan menumpukan kepada interaksi pelanggan secara digital untuk memastikan perkhidmatan yang lebih pantas, lebih mudah diakses dan boleh dipercayai serta yakin Maxis akan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia.

Syarikat juga akan menumpukan kepada mengembangkan perniagaan terasnya iaitu mudah alih, gentian dan perusahaan sambil menyampaikan operasi dengan cemerlang.

"Matlamat jangka panjang kami ialah kekal kukuh pada pertumbuhan perniagaan yang mampan dan boleh dijangka.

"Walaupun persaingan semakin sengit dan landskap kawal selia yang sentiasa berubah, kami yakin ketangkasan dan tindak balas pantas kami membolehkan kami merebut peluang yang mungkin timbul hasil daripada perkembangan ini," tambahnya.

Maxis mencatatkan penurunan dalam keuntungan bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 kepada RM993 juta daripada RM1.15 bilion pada tahun kewangan 2022.

Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM10.18 bilion daripada RM9.79 bilion tahun lalu, dengan jumlah hasil meningkat empat peratus manakala pendapatan perkhidmatan asas, tidak termasuk perkhidmatan suara borong dengan margin rendah yang ditamatkan pada suku keempat 2022, meningkat 4.2 peratus dari tahun ke tahun.

-BERNAMA

Berita Harian X