Ahad, 7 April 2024 | 1:02pm
Sektor runcit dan e-dagang sasaran menarik kepada penjenayah siber berikutan jumlah wang yang banyak dan data peribadi yang terlibat -NSTP/AIZUDDIN SAAD
Sektor runcit dan e-dagang sasaran menarik kepada penjenayah siber berikutan jumlah wang yang banyak dan data peribadi yang terlibat -NSTP/AIZUDDIN SAAD

'Waspada serangan siber pada musim perayaan'

KUALA LUMPUR: Sektor e-dagang dinasihatkan berwaspada dengan kemungkinan serangan siber ketika musim perayaan berikutan peningkatan aktiviti runcit dalam talian yang memberi peluang kepada penjenayah siber untuk mengeksploitasi, kata penyedia penyelesaian keselamatan siber, Fortinet.

Pengurus Cawangan Malaysia Fortinet, Dickson Woo, berkata peruncit dalam talian perlu mengamalkan pendirian proaktif dalam keselamatan siber memandangkan mereka lebih kerap menjadi sasaran berbanding dengan industri lain.

"Penjenayah siber mengambil kesempatan daripada kesibukan pada musim perayaan kerana pembeli mungkin cenderung untuk melakukan pembelian yang terburu-buru, sehingga berpotensi untuk mengabaikan langkah keselamatan.

"Kecuaian untuk menangani risiko ini boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada pelbagai bahaya, termasuk pencurian identiti dan pencurian maklumat pembayaran," katanya kepada Bernama.

Menurut Woo, sektor runcit dan e-dagang merupakan sasaran menarik kepada penjenayah siber berikutan jumlah wang yang banyak dan data peribadi yang terlibat.

"Kegagalan untuk menangani ancaman siber dan mengabaikan perlindungan data boleh mendedahkan pengguna kepada risiko seperti pencurian identiti dan penipuan kewangan," katanya.

Woo menegaskan, kekurangan perlindungan data dalam sektor runcit boleh menyebabkan pencurian identiti, dengan penjenayah menggunakan maklumat peribadi yang dicuri untuk melakukan penipuan atau aktiviti menyalahi undang-undang lain atas nama pengguna yang boleh mengakibatkan kerugian kewangan, menjejaskan penarafan kredit, dan proses yang panjang dan kompleks untuk memulihkan identiti.

Malah, terdapat risiko akses tanpa kebenaran terhadap maklumat peribadi, yang boleh digunakan untuk tujuan berniat jahat, seperti serangan pancing data yang disasarkan atau menjual data di web tertutup, katanya.

Woo berkata, bagi menangani isu ini, perniagaan runcit perlu menggunakan pendekatan holistik dan pelbagai lapisan terhadap keselamatan siber, merangkumi teknologi, proses dan manusia.

Mereka perlu mengintegrasi sistem risikan ancaman dengan seni bina keselamatan mereka yang lebih luas untuk kebolehlihatan yang lebih baik dan mengautomatikkan tindakan untuk menghapuskan ancaman dan mencegah insiden pada masa akan datang.

"Dengan menggandingkan penyelesaian orkestrasi dengan automasi berteraskan kecerdasan buatan, tugas rutin boleh dikendalikan secara automatik, mengurangkan kesilapan manusia dan tidak melibatkan pasukan keselamatan agar memfokuskan kepada ancaman yang lebih kritikal," katanya.

Selain itu, peruncit juga perlu menghasilkan pelan tindak balas yang komprehensif bagi pencerobohan, membuat sandaran data penting, serta mendidik pekerja dan pelanggan mengenai risiko dan penipuan kejuruteraan sosial.

-BERNAMA

Berita Harian X