Selasa, 19 March 2024 | 11:56am
Anwar dan Tengku Zafrul mengadakan pertemuan bersama Huang (dua dari kanan) dan Seok Hong (kiri) - Gambar ihsan MITI
Anwar dan Tengku Zafrul mengadakan pertemuan bersama Huang (dua dari kanan) dan Seok Hong (kiri) - Gambar ihsan MITI

YTL AI Cloud guna superkomputer termaju, dipacu NVIDIA

KUALA LUMPUR: YTL Power International mengumumkan pembentukan YTL AI Cloud, penyedia khusus untuk pengkomputeran dipertingkatkan berasaskan unit pemprosesan grafik (GPU) berskala besar.

YTL AI Cloud akan menggunakan dan menguruskan antara superkomputer termaju di dunia pada NVIDIA Grace Blackwell-dijana DGX Cloud, sebuah superkomputer Kecerdasan Buatan (AI) untuk memacu pembangunan AI generatif.

Menurut YTL dalam kenyataan hari ini, YTL AI Supercomputer akan ditempatkan di kemudahan pusat data seluas 664 hektar di Kampus Pusat Data Hijau YTL, Johor, dijana oleh sumber tenaga boleh baharu daripada kemudahan tenaga solar berkapasiti 500 megawatt di lokasi berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata YTL AI Cloud, yang pertama untuk Malaysia, akan mempercepatkan penggunaan AI di Malaysia dan menerajui pembangunan Sovereign Cloud negara.

"Kerjasama dengan NVIDIA menjadi bukti kepada tarikan Malaysia sebagai hab untuk pelaburan digital," kata beliau.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata AI Cloud akan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.

"Ini merupakan langkah ke hadapan yang penting dalam misi kita untuk menjadi hab AI dan Pusat Data terkemuka di rantau ini," katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja membawa Malaysia lebih dekat untuk mencapai matlamatnya di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) tetapi turut menunjukkan keupayaan dan kesediaan Malaysia untuk memainkan peranan penting dalam landskap teknologi global.

YTL akan menjadi antara syarikat pertama yang menggunakan NVIDIA GB200 NVL72, iaitu sistem skala rak, penyejukan cecair dan pelbagai nod dengan NVLink generasi kelima.

Superkomputer itu akan disambungkan oleh platform rangkaian NVIDIA Quantum InfiniBand.

Platform itu berfungsi sebagai GPU tunggal dengan 1.4 exaflop prestasi AI dan 30 terabait memori pantas serta dibangunkan untuk beban kerja intensif pengiraan.

YTL AI Supercomputer akan mengatasi lebih 300 exaflop pengiraan AI, menjadikannya antara superkomputer terpantas di dunia.

"Tidak dinafikan bahawa AI adalah instrumen penting yang akan memacu ekonomi digital global," kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, mempunyai antara infrastruktur pengkomputeran awan NVIDIA berkuasa tinggi di Malaysia merupakan pencetus perubahan dan akan mewujudkan inovasi dan pembangunan penyelesaian yang penting kepada kejayaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

"NVIDIA bekerjasama dengan YTL AI Cloud untuk membawa platform pengkomputeran dipertingkatkan bertaraf dunia ke Asia Tenggara, membantu memacu penyelidikan saintifik, inovasi dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini," kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang.

Superkomputer terkini itu merupakan antara penggunaan pertama NVIDIA GB200 Grace Blackwell Superchip di DGX Cloud, menyokong pertumbuhan pengkomputeran dipertingkatkan di rantau Asia Pasifik.

Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, berkata kumpulan itu berbangga dapat bekerjasama dengan NVIDIA dan kerajaan Malaysia untuk membawa pengkomputeran awan AI yang berkuasa tinggi ke Malaysia.

"Kami gembira untuk membawa superkomputer ini ke rantau Asia Pasifik, yang telah menjadi tempat kepada banyak bidang awan paling pesat berkembang dan banyak pengguna AI paling inovatif di dunia," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X