Khamis, 14 March 2024 | 2:12pm
Fahmi (tengah) melancarkan penyelesaian e-Farmasi TM di Cyberjaya, hari ini -NSTP/Mohd Zaky Zainuddin
Fahmi (tengah) melancarkan penyelesaian e-Farmasi TM di Cyberjaya, hari ini -NSTP/Mohd Zaky Zainuddin

TM perkenal e-Farmasi bantu pesakit dapatkan ubat-ubatan

CYBERJAYA: Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi segmen Unifi Business memperkenalkan produk perniagaan digital terbaharunya iaitu penyelesaian e-Farmasi, aplikasi mudah alih yang membolehkan e-preskripsi melalui telekonsultasi untuk ahli farmasi dan pesakit.

Didatangkan bersama pelan jalur lebar tetap Unifi Business dengan kelajuan 100 megabait sesaat (Mbps) sehingga dua gigabait sesaat (Gbps) penyelesaian itu menawarkan akses kepada lebih 500 profesional penjagaan kesihatan berlesen untuk telekonsultasi, e-preskripsi, tandatangan digital tersuai, bahan bacaan e-kesihatan dan penyimpanan rekod perubatan pesakit.

Penyelesaian itu disediakan dengan kerjasama platform teleperubatan terkemuka di Malaysia, Teleme Technologies.

Memanfaatkan rangkaian TM dan kira-kira 600 perunding Unifi Business di seluruh negara, penyelesaian itu bertujuan membantu ahli farmasi membekalkan ubat-ubatan penting dan perkhidmatan farmaseutikal, terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan yang sukar mendapat perkhidmatan.

Melalui e-preskripsi, komuniti berkenaan akan mendapat akses yang lebih lancar kepada ubat-ubatan, meningkatkan pematuhan dan menambah baik penjagaan kesihatan pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, berkata, penyelesaian e-Farmasi dapat memperkasakan ahli farmasi untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan berkualiti kepada pesakit melalui telekonsultasi dan akses kepada perubatan profesional berlesen.

Katanya, dengan menyepadukan ketersambungan dan teknologi dalam penjagaan pesakit, penyelesaian e-Farmasi TM bertujuan untuk menyokong penjagaan kesihatan professional dan kerajaan, dalam menyediakan perkhidmatan yang cekap dan bermanfaat untuk seluruh rakyat Malaysia, terutamanya dalam kalangan komuniti yang menghadapi cabaran dalam mendapatkan akses penjagaan kesihatan.

"Penawaran baharu ini juga mencerminkan usaha berterusan TM ke arah menjadi 'kuasa besar digital' menjelang 2030, meneraju pertumbuhan industri melalui pendigitalan dan kemampanan, dan mengukuhkan ekosistem digital kami untuk memanfaatkan komuniti dan perniagaan," katanya pada Majlis pelancaran penyelesaian e-Farmasi TM di sini, hari ini.

Ia dilancarkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Turut hadir, Pengerusi TM, Datuk Zainal Abidin Putih.

Amar Huzaimi berkata, penyelesaian e-Farmasi TM sejajar dengan kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) semasa Persidangan PEDi MADANI, untuk mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan merapatkan jurang bandar-luar bandar dalam akses saksama kepada penjagaan kesihatan berkualiti.

"Tawaran ini juga layak untuk memanfaatkan Geran Digital PMKS Madani (GDPM) kerajaan, memastikan ahli farmasi daripada segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima sokongan yang mereka perlukan untuk menerima pendigitalan dan membolehkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih inklusif untuk semua rakyat," katanya.

Menurut TM, ciri utama penyelesaian e-Farmasi Unifi Business antara lain adalah pemprosesan preskripsi diperkemas apabila pesakit menerima e-preskripsi daripada telekonsultansi dengan ahli perubatan profesional berlesen, seterusnya membolehkan ahli farmasi membekalkan ubat yang diperlukan kepada pesakit.

Produk terbaharu itu juga dapat meningkatkan pengalaman dengan pesakit mendapat manfaat daripada akses fleksibel kepada ubat-ubatan yang perlu dipreskripsi, yang membawa kepada pematuhan dan hasil kesihatan yang lebih baik, yang penting terutamanya dalam kalangan masyarakat yang sukar mendapat perkhidmatan atau di luar bandar.

Ia juga dapat menambah baik pengurusan ubat-ubatan kerana aplikasi itu menawarkan pengurusan ubat yang baik, membolehkan ahli farmasi memantau inventori dan menghantar peringatan kepada pesakit untuk membeli ubat-ubatan.

Berita Harian X