Ahad, 21 Januari 2024 | 4:53pm
Majlis pelancaran Samsung Galaxy S24 -NSTP/Fathil Asri
Majlis pelancaran Samsung Galaxy S24 -NSTP/Fathil Asri

Samsung perkenal Galaxy S24 dipacu teknologi AI

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia memperkenalkan Siri Samsung Galaxy S24 yang baharu baru-baru ini, membuka lembaran baharu untuk kategori peranti mudah alih yang dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

Siri Samsung Galaxy S24 dilengkapi dengan Galaxy AI, menawarkan pengalaman AI mudah alih yang komprehensif, dikuasakan oleh AI yang tersedia dalam peranti dibangunkan di Samsung dan AI berasaskan awan, dijayakan melalui kerjasama terbuka dengan rakan industri lain.

"Daripada evolusi telefon mudah alih asas dengan keupayaan terhad kepada telefon pintar, kami kini akan membuka lembaran baharu untuk kategori mudah alih dengan AI, bermula dengan telefon Galaxy AI.

"AI pada amnya terkenal dengan ciri-ciri pembantu pintar, fungsi chatbot dan pengecaman muka," menurut Samsung Malaysia dalam kenyataan.

Siri Samsung Galaxy S24 disasarkan untuk memenuhi keperluan golongan muda, terutamanya Generasi MZ, termasuk individu yang celik teknologi, peminat permainan mudah alih serta mereka yang meminati fotografi dan media sosial.

Generasi MZ, istilah yang digunakan di Korea Selatan, merujuk kepada golongan milenial (lahir pada awal 1980-an hingga awal 1990-an) dan Generasi Z (lahir pada pertengahan 1990-an hingga awal 2000-an).

Siri Samsung Galaxy S24 yang baharu akan turut menunjukkan kaedah baharu untuk mencipta, bermain dan menyelesaikan tugasan berikutan ia mendedahkan cara yang tidak dijangka apabila kehidupan boleh menjadi lebih mudah, menjadikan segala-galanya dalam kehidupan lebih hebat daripada sebelumnya, menurut kenyataan itu.

"Kami sering percaya bahawa kami melakukan sesuatu dengan cara yang terbaik. Kemudian wujud sesuatu yang menafikan status quo itu, membuatkan kami berkata, 'Saya tidak percaya saya pernah melakukannya' dan mempersoalkan bagaimana kita pernah hidup tanpanya," menurut Samsung, sambil menambah telefon Galaxy AI boleh merakam detik-detik kehidupan yang epik dengan mudah.

Samsung Malaysia menekankan bahawa Galaxy AI baharu mempunyai ciri-ciri yang lebih menarik, seperti 'menterjemah secara langsung', terjemahan bahasa pada masa nyata melalui panggilan.

Tiada aplikasi pihak ketiga diperlukan dan pengguna boleh menterjemah atau berkomunikasi dengan serta-merta dalam pelbagai bahasa.

Telefon pintar baharu itu turut menampilkan 'chat assist', yang menterjemah mesej yang masuk pada masa nyata dalam pelbagai bahasa.

Ia membolehkan pengguna berbual seperti penduduk tempatan apabila membalas mesej, dengan bantuan gaya dan tatabahasa, menyesuaikan nada dengan situasi dan menulis secara profesional dengan mudah.

Ciri lain termasuklah 'note assist', yang membolehkan penjajaran dan jarak tulisan tangan secara automatik.

Ia termasuk 'auto format' (untuk menstruktur semula nota yang boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja dengan serta-merta) serta ringkasan dan terjemahan (untuk meringkaskan perkara penting daripada nota, untuk pengguna merujuk kembali kepada perkara utama atau menterjemah kepada bahasa lain).

Selain itu, ia turut menampilkan 'correct spelling', apabila AI mencadangkan ejaan atau format tarikh dan masa yang betul dalam nota.

Peminat fotografi akan berpuas hati dengan Siri Samsung Galaxy S24 yang baharu, apabila menampilkan keupayaan 'photo assist'.

Ia menawarkan 'background fill', yang melaraskan sudut imej dan menjana latar belakang baharu untuk mengisi mana-mana ruang pada gambar dan 'object re-composition', yang memindahkan, mengeluarkan atau menukar saiz manusia atau objek dalam gambar.

Peranti baharu itu turut menawarkan 'edit suggestion', yang memaklumkan kepada pengguna mengenai perkara yang boleh dilakukan oleh AI pada gambar tertentu dan 'instant slow-mo', ciri yang memperlahankan detik-detik menarik dengan lancar.

Selain itu, pengguna yang meminati sesuatu di media sosial atau web boleh terus mencarinya dengan melukis bulatan di sekelilingnya, tanpa sebarang istilah carian, yang menjadikannya mudah dengan fungsi 'circle to search'.

Ia turut menyediakan soalan susulan dan hasil lanjutan dengan memahami konteks carian anda.

Promosi pratempah untuk Siri Samsung Galaxy S24 adalah mulai 18 Januari hingga 6 Februari 2024, menawarkan naik taraf storan berganda bernilai RM500; e-baucar bernilai RM500; tukar beli sehingga RM650 dan pembelian dengan pembelian untuk peranti boleh pakai dan tablet (sehingga RM800) serta Samsung Care+ dan aksesori (diskaun sehingga 45 peratus).

-BERNAMA

Berita Harian X