Rabu, 17 Januari 2024 | 11:07am
Honor Magic V2 mencabar norma industri dengan menampilkan reka bentuk yang sangat nipis dan ringan. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Honor Magic V2 mencabar norma industri dengan menampilkan reka bentuk yang sangat nipis dan ringan. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Honor perkenal telefon lipat paling nipis, ringan di dunia

KUALA LUMPUR: Honor Malaysia secara rasmi melancarkan Honor Magic V2, telefon boleh lipat yang menjadi penanda aras baru dalam industri sebagai yang paling nipis dan ringan di dunia dalam segmen berkenaan.

Dengan penambahbaikan terhadap bateri, paparan, dan keseluruhan pengalaman pengguna, Magic V2 ditawarkan pada harga RM6,999 dengan kapasiti storan 16+512GB.

Syarikat itu berkata, telefon boleh lipat baru berkenaan telah ditambah baik berbanding generasi sebelumnya dan direka khas bagi golongan yang mahukan telefon berprestasi tinggi dengan teknologi tercanggih dan ciri privasi yang dipertingkatkan.

"Honor Magic V2 mencabar norma industri dengan menampilkan reka bentuk yang sangat nipis dan ringan. Jika sebelum ini, telefon boleh lipat eksklusif untuk kelompok pengguna tertentu, namun kini ia diubah kepada peranti perdana agar mudah dimiliki semua individu.

"Ia peranti pertama untuk mencapai ukuran di bawah 1.0 sentimeter (cm) iaitu hanya 9.9 milimeter apabila dilipat, manakala beratnya cuma 231 gram (g)," katanya dalam satu kenyataan selepas majlis pelancaran rasminya di sini semalam. Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kenegaraaan Honor Malaysia, Matthew Ng.

Timbalan Pengarah Kenegaraaan Honor Malaysia, Matthew Ng pada majlis pelancaran Honor Magic V2 di Aurum Theatre, The Exchange TRX Mall semalam. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Timbalan Pengarah Kenegaraaan Honor Malaysia, Matthew Ng pada majlis pelancaran Honor Magic V2 di Aurum Theatre, The Exchange TRX Mall semalam. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Sempena itu juga, Honor Malaysia menawarkan pra-pesanan bermula hari ini sehingga 24 Januari 2024 menerusi laman web rasmi HONOR, Kedai HONOR, Shopee, Lazada, TikTok Shop, termasuk pengedar sah seperti Maxis, Harvey Norman, Senheng, SenQ dan Urban Republic.

"Pembeli awal akan mendapat hadiah percuma eksklusif bernilai sehingga RM3,247 merangkumi HONOR Choice Cleaner Robot, pemegang telefon boleh lipat graviti kereta dan perlindungan skrin HONOR 365 Hari.

"HONOR menjadi jenama pertama menawarkan perlindungan skrin selama 365 Hari untuk telefon boleh lipat. Perlindungan Skrin HONOR 365 Hari meliputi kerosakan skrin dalam dan luar disebabkan terlanggar atau terjatuh," katanya. Ia didatangkan dalam tiga warna premium iaitu hitam Black, ungu Purple dan Black (PU) dan boleh dibeli di kedai seluruh negara mulai 25 Januari.

Dari segi pembangunan telefon berkenaan, Honor Malaysia berkata, Magic V2 memiliki engsel kukuh dan ringan dengan menggunakan aloi titanium.

Engsel Magic V2 dapat menahan lebih 400,000 lipatan, manakala kaca nanohablur mempunyai rintangan jatuh 10 kali ganda berbanding kaca standard biasa.
Engsel Magic V2 dapat menahan lebih 400,000 lipatan, manakala kaca nanohablur mempunyai rintangan jatuh 10 kali ganda berbanding kaca standard biasa.

Engsel kukuh dan ringan

Engsel Magic V2 dapat menahan lebih 400,000 lipatan, manakala kaca nanohablur mempunyai rintangan jatuh 10 kali ganda berbanding kaca standard biasa.

Selain itu, engsel berkenaan juga dibina menggunakan struktur gear sifar yang unik bagi memudahkan pengguna menonton video dan mengambil gambar tanpa menggunakan tangan.

"Paling penting, HONOR Magic V2 menawarkan jangka hayat bateri lama. Bateri karbon silikon 5000mAh disokong HONOR SuperCharge 66W untuk pengecasan pantas dalam tempoh beberapa minit.

"HONOR adalah perintis menggunakan bateri karbon silikon ultranipis dalam telefon boleh lipat. Bateri seperti ini kali pertama digunakan dalam kenderaan elektrik seperti Tesla," tambahnya lagi.

Honor berkata, ia juga adalah telefon boleh lipat pertama dilengkapi teknologi pemalapan PWM 3840, paling tinggi dalam industri, untuk keselesaan mata, manakala paparan luar dan dalam disediakan kadar penyegaran tinggi 120Hz.

"Paparan dalam besar 7.92 inci memberi rasa seolah menggunakan tablet, memberi fungsi dua dalam satu, sesuai untuk ahli perniagaan atau individu yang sentiasa perlu melakukan beberapa tugas berbeza dalam satu masa.

"Ia menyokong HDR 10+, gamut warna 100 peratus DCI-P3 dan 1.07 bilion warna untuk menghasilkan visual dengan warna sebenar," katanya.

Dalam pada itu,Magic V2 dikuasakan dengan cipset Snapdragon 8 Gen 2 dan menjalankan dalam operasi MagicOS 7.2 berasaskan Android 13 untuk prestasi lancar.

Dari segi fotografi, Magic V2 dilengkapi tiga persediaan kamera belakang terdiri daripada Kamera Utama 50 megapiksel (MP), kamera ultralebar 50MP dan kamera telefoto 20MP, manakala dua kamera hadapan adalah 16MP.

Sementara itu, HONOR mempertingkatkan ciri AI Recognition bagi menambah baik pengecaman imej untuk pengalaman fotografi yang lebih lancar dan pintar. Penambah baik ini juga termasuk ciri HONOR Motion Sensing Capture yang berfungsi untuk menangkap pergerakan.

Ia juga dilengkapi cipset keselamatan diskret dan panggilan privasi AI yang dipertingkatkan untuk melindungi maklumat sensitif pengguna daripada diketahui pihak lain.

"Panggilan Privasi AI 2.0 berupaya menghalang orang sekeliling daripada mendengar perbualan dalam telefon pengguna dengan melaraskan bunyi panggilan mengikut keadaan persekitaran sama ada di kawasan sesak atau sunyi seperti di dalam lif," katanya.

Tambahnya, pengguna boleh melakukan pelbagai perkara serentak dengan ciri berbilang tugas seperti bermain permainan mudah alih, menstrim, menyiapkan tugasan atau melayari media sosial. Sehingga 4 tetingkap berbilang boleh dibuka pada satu masa dengan skrin pisah dalam mod menegak atau melintang. Sebagai tambahan, skrin pisah memberikan pengalaman permainan dwi skrin yang unik.

Berita Harian X