Rabu, 10 Januari 2024 | 2:55pm
TM bertindak pantas dalam ruang perkhidmatan 5G
TM bertindak pantas dalam ruang perkhidmatan 5G

TM berpotensi besar kuasai pasaran pengguna 5G

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) mempunyai peluang yang lebih baik menguasai pasaran 5G pada tahun ini, selepas dilihat kurang berjaya menguasai pasaran 4G sebelumnya.

Penganalisis Kenanga Research, Kylie Chan Sze Zan, berkata peluang itu adalah berdasarkan kepada kualiti rangkaian yang bertambah baik dan pemasaran produk berkesan dilaksanakan oleh TM.

Mengimbas semula, beliau berkata pada 2014, TM menerokai ruang mudah alih melalui pemerolehan Packet One Networks (Malaysia) Sdn Bhd (P1) yang membolehkannya menawarkan perkhidmatan tertumpu melalui rangkaian 4G LTE P1 dan spektrum mudah alih (blok 20MHz dalam jalur 2.6GHz).

Katanya, perkhidmatan mudah alih TM telah dilancarkan sebagai webe pada September 2016 dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai Unifi Mobile.

"Namun malangnya, daya tarikan Unifi Mobile terhad dalam menarik pelanggan 4G baharu. TM mengaitkan perkara itu disebabkan pegangan spektrum yang tidak mencukupi, yang membawa kepada kualiti rangkaian yang lemah.

"Selain itu, TM juga mengakui kurang pengalaman dalam memasarkan perkhidmatan mudah alih," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Sze Zan berkata, jika dilihat sebelum ini, pesaing TM iaitu Celcom, Digi dan Maxis masing-masing mempunyai tambahan spektrum 3G dan 4G yang diterjemahkan kepada liputan rangkaian serta kelajuan internet yang lebih baik.

"Ini terdiri daripada spektrum dalam 900MHz, 1.8GHz, 2.1GHz dan 2.6GHz. Sebaliknya, TM dikekang oleh hanya mempunyai 850MHz dan spektrum 2.6GHz untuk penghantaran 4G LTE," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pada sebagai langkah tindak balas, TM pada 2019 memeterai perjanjian perkongsian rangkaian selama tiga tahun dengan Celcom untuk perayauan domestik 4G dan MOCN.

Sze Zan berkata, ini adalah tambahan kepada perjanjian perayauan 2G dan 3G sedia ada, tetapi kualiti rangkaian Unifi Mobile masih tidak mencukupi.

Namun, katanya tindakan pantas TM dalam ruang 5G menjadikan Unifi Mobile tidak lagi terganggu oleh kekurangan sumber spektrum.

"Hal ini kerana semua pemain mudah alih berkemungkinan akan terus mendapatkan kapasiti 5G borong daripada pembekal universal tunggal iaitu Digital Nasional Bhd (DNB).

"Selepas itu, mengikuti kemunculan rangkaian 5G kedua baharu, TM juga akan mempunyai pilihan untuk memilih antara dua pembekal borong.

"Oleh yang demikian, ini membayangkan tahap landskap 5G membolehkan TM bersaing dengan berkesan," katanya.

Berita Harian X