Rabu, 3 Januari 2024 | 2:08pm
Pengguna di negara ini masih lagi teragak-agak untuk menerima teknologi 5G baharu - Gambar fail NSTP
Pengguna di negara ini masih lagi teragak-agak untuk menerima teknologi 5G baharu - Gambar fail NSTP

Rakyat Malaysia masih kurang peka kelebihan 5G

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dikesan masih kurang kesedaran mengenai kelebihan dan faedah 5G yang kini terdapat dalam pelbagai aplikasi yang menggunakan teknologi maju itu untuk industri serta perusahaan.

Penganalisis Kenanga Research, Kylie Chan Sze Zan, berkata antara manfaat yang ditawarkan oleh teknologi 5G termasuklah automasi tepat, pengawasan jauh jarak jauh, penyiaran definisi tinggi masa nyata, analisis luas jumlah data pada awan teknologi kecerdasan buatan (AI), dan sebagainya.

Beliau berkata, aplikasi sedemikian menghasilkan transformasi proses perniagaan yang membolehkan organisasi meningkatkan kecekapan dan mencapai inovasi yang berjaya.

Namun, katanya pengguna masih lagi teragak-agak untuk menerima teknologi 5G baharu walaupun terdapat perusahaan yang telah mengiktiraf kelebihan 5G, namun masih ada yang menolak transformasi ini.

"Ini boleh difahami memandangkan keperluan untuk mengubah sistem sedia ada dan membuat pelaburan teknologi yang besar untuk memanfaatkan 5G. Tambahan pula, syarikat perlu bersedia untuk mengurangkan tenaga kerja bagi membolehkan automasi AI mengambil alih melalui robot dan jentera canggih," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau berkata, kes penggunaan terkini untuk 5G dalam konteks korporat adalah pelaksanaan inventori autonomi sistem AI di Pusat Logistik Bersepadu DHL di Shah Alam.

"Ini merupakan sistem yang menggabungkan robot dan dron yang dilengkapi dengan kamera yang mempunyai resolusi tinggi.

"Menurut DHL, kecekapan ditingkatkan sebanyak 20 kali ganda dan ketepatan dipertingkatkan selepas pemasangan sistem ini," katanya.

Sementara itu, syarikat telekomunikasi (telco) juga sedang mencuba memikirkan strategi pemasaran 5G walaupun masih terdapat beberapa telco yang enggan menyelaraskan semula strategi pemasaran mereka.

Hal ini, kerana telco kini perlu menyasarkan kepada perusahaan dan bukannya pengguna tradisional apabila mereka mula menjual perkhidmatan 5G.

"Oleh itu, mereka perlu mendidik kakitangan jualan mereka untuk mengalihkan tumpuan mereka dan sebaliknya sasarkan kepada syarikat multinasional besar," katanya.

Mengenai rangkaian kedua 5G, Sze Zan berkata butiran mengenainya mungkin akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

"Dari segi material pembangunan sektor ini bagi suku pertama 2024, kami percaya bahawa Kementerian Digital akhirnya akan mengeluarkan arahan dasar rangkaian berkembar 5G rasmi," katanya.

Pada Mei 2023, kerajaan mengumumkan pelaksanaan rangkaian 5G dalam dua fasa.

Di bawah fasa pertama, Digital Nasional Bhd (DNB) akan terus melaksanakan 5G untuk mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang akhir 2023.

Manakala, di bawah fasa kedua, model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) akan beralih kepada rangkaian berkembar.

Berita Harian X