Isnin, 25 Disember 2023 | 10:08am
CelcomDigi mempunyai pelbagai penyelesaian digital yang mampu milik - Gambar fail NSTP
CelcomDigi mempunyai pelbagai penyelesaian digital yang mampu milik - Gambar fail NSTP

CelcomDigi sedia bantu PKS manfaat teknologi digital

KUALA LUMPUR: CelcomDigi Bhd menawarkan pelbagai sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melaksanakan digitalisasi, sebagai rakan kongsi digital yang dipercayai.

Ketua Pegawai Perusahaan Perniagaan CelcomDigi Bhd, Afizulazha Abdullah, berkata antara sokongan yang diberikan oleh CelcomDigi, termasuk membimbing dan membantu pelanggan mempelajari, merancang serta mengenal pasti teknologi yang sesuai dengan keperluan perniagaan mereka sehinggalah kepada pelaksanaan.

"Selain menawarkan akses kepada teknologi 5G melalui rangkaian terbesar dan terpantas di Malaysia, CelcomDigi juga mempunyai pelbagai penyelesaian digital yang mampu milik dan boleh disesuaikan dengan keperluan perniagaan masing-masing, tanpa mengira saiz perniagaan," katanya kepada BH.

Beliau menambah, PKS yang layak untuk Geran Digital PMKS MADANI boleh menuntut sehingga RM5,000 apabila mendaftar untuk pek 5G tanpa had CelcomDigi.

Katanya, pek ini memenuhi semua saiz PKS dan menawarkan pelbagai pilihan seperti akses 5G, talian gentian 300Mbps atau WiFi perniagaan 5G.

"Selain itu, CelcomDigi juga menawarkan penyelesaian HR digital percuma, altHR, kepada pelanggan perniagaannya, seterusnya memudahkan dan memperkemas pengurusan tenaga kerja," katanya.

Afizulazha berkata, PKS perlu mempercepatkan penggunaan teknologi digital dalam operasi perniagaan bagi mengekalkan daya saing dan menjamin kelangsungan dengan meningkatkan produktiviti serta kecekapan dalam pengurusan.

Beliau berkata, persepsi bahawa proses transformasi pendigitalan memerlukan modal yang besar adalah satu daripada pemikiran yang perlu diubah dalam kalangan PKS.

Ketua Pegawai Perusahaan Perniagaan CelcomDigi Bhd, Afizulazha Abdullah
Ketua Pegawai Perusahaan Perniagaan CelcomDigi Bhd, Afizulazha Abdullah

Katanya, terdapat pelbagai bantuan atau pembiayaan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan serta agensi lain sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman yang dapat membantu PKS membiayai kos pendigitalan perniagaan mereka.

"PKS juga perlu memahami bahawa untuk mendigitalisasikan perniagaan, mereka tidak perlu untuk membuat semuanya serentak. Sebagai permulaan, mereka harus mengenal pasti masalah utama yang dihadapi oleh perniagaan mereka dan masalah mana yang harus diselesaikan dahulu.

"Tangani masalah yang dikenal pasti satu persatu mengikut keperluan dan kepentingan perniagaan. Ini boleh membantu dari segi modal perbelanjaan.

"Lakukan kajian mengenai pelbagai penyelesaian digital yang ada di pasaran dan memilih penyelesaian yang paling sesuai dengan keperluan perniagaan dan mampu membantu menyelesaikan masalah dihadapi," katanya.

Sementara itu, Pengasas Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman, berkata secara ringkasnya, pendigitalan adalah penting untuk sesuatu perniagaan masa kini untuk menyesuaikan diri dengan landskap perniagaan yang berubah, meningkatkan kecekapan operasi, meningkatkan kualiti pengalaman pelanggan dan kekal berdaya saing dalam dunia yang semakin digital.

"Syarikat yang menerima transformasi digital berada pada kedudukan yang lebih baik untuk berkembang maju dalam ekonomi global yang serba pantas dan saling berkaitan hari ini.

"Pendigitalan ialah strategi penting untuk mengembangkan perniagaan, kerana ia membuka ruang baharu untuk pertumbuhan, meningkatkan kecekapan dan meningkatkan pengalaman pelanggan.

"Dengan memanfaatkan teknologi digital dengan berkesan, perniagaan boleh mencapai pasaran yang lebih luas, berdaya saing dan memacu pertumbuhan yang mampan," katanya.

Beliau berkata, Siti Khadijah kini sedang menjalani proses pemindahan ke sistem baharu yang merangkumi hampir keseluruhan operasi syarikat.

"Sistem ini bakal meningkatkan automasi syarikat dan mengurangkan proses perniagaan yang manual. Kami juga sedang dalam fasa awal pelaksanaan sistem RFID yang bakal meningkatkan ketepatan maklumat inventori untuk semua gudang dan butik," katanya.

Berita Harian X