Rabu, 13 Disember 2023 | 12:04pm
Gobind Singh Deo -NSTP/Sadiq Sani
Gobind Singh Deo -NSTP/Sadiq Sani

Kementerian khusus percepat transformasi digital Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) menyokong penubuhan kementerian khusus untuk memantau sektor teknologi yang penting sejak sedekad lalu menerusi pelantikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Pengerusi PIKOM, Ong Chin Seong, berkata persatuan itu amat mempercayai bahawa keputusan itu adalah satu pencapaian penting dalam perjalanan digital Malaysia dan akan menyediakan fokus yang diperlukan serta sumber untuk mempercepatkan transformasi digital negara.

"Kami khususnya gembira dengan pelantikan Gobind sebagai seorang tokoh dihormati dalam industri dan memiliki pemahaman mendalam terhadap cabaran serta peluang yang kami hadapi.

"Kami telah bekerja dengan Gobind sebelum ini semasa beliau memegang jawatan kementerian terakhirnya dan pengalaman meluaskan akan menjadi bernilai untuk memacu pertumbuhan serta pembangunan sektor teknologi," katanya dalam satu kenyataan.

Chin Seong berkata, PIKOM bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Digital untuk menangani keutamaan penting termasuk memperluaskan pasaran tempatan bagi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Kami menggesa kementerian untuk melaksanakan dasar-dasar yang menggalakkan penggunaan lebih meluas penyelesaian teknologi oleh perniagaan dan individu merentas semua sektor.

"Ini termasuklah inisiatif untuk menangani jurang kemahiran, menggalakkan celik digital dan membina ekosistem sokongan bagi inovasi," katanya.

Beliau menambah, kerjasama juga akan meningkatkan pendigitalan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komuniti luar bandar serta miskin bandar.

"Adalah penting untuk merapatkan jurang digital dan memastikan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai akses setara kepada peluang serta perkhidmatan.

"Kementerian Digital wajar mengutamakan program yang menyokong penggunaan digital oleh PKS serta menyediakan bantuan bersasar untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin bandar dan komuniti luar bandar menerusi keterangkuman digital," katanya.

Chin Seong berkata, usaha juga perlu dilakukan bagi meningkatkan eksport digital, memandangkan Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi pemain utama dalam pasaran eksport teknologi global.

Katanya, Kementerian Digital perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri bagi membangunkan strategi yang menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan yang boleh dieksport, di samping memudah cara akses pasaran bagi syarikat-syarikat teknologi tempatan.

"Kami menggalakkan kementerian untuk meneroka dengan aktif pasaran baharu berpotensi bagi produk dan perkhidmatan teknologi Malaysia.

"Ini termasuk memanfaatkan perjanjian perdagangan sedia ada dan meneroka pasaran sedang pesat membangun dengan potensi pertumbuhan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, PIKOM percaya bahawa penubuhan Kementerian Digital dan pelantikan Gobind adalah langkah penting ke hadapan untuk masa depan digital Malaysia.

Katanya, penubuhan kementerian itu akan memberikan pelaksanaan fokus yang diperlukan untuk memberikan Malaysia satu kelebihan daya saing.

"Kami yakin di bawah kepimpinan beliau, sektor teknologi akan terus berkembang dan makmur, menyumbang dengan ketara kepada pembangunan ekonomi serta sosial negara," katanya.

Berita Harian X