Selasa, 12 Disember 2023 | 6:56pm
Mohd Nazrol (kanan) bersama Sun pada majlis pelancaran Program Pemecut Global Go di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA
Mohd Nazrol (kanan) bersama Sun pada majlis pelancaran Program Pemecut Global Go di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA

Huawei, MDEC bantu syarikat teknologi Malaysia tembusi China

KUALA LUMPUR: Huawei bersama-sama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan Program Pemecut Global Go, yang menyasarkan untuk membantu syarikat teknologi tempatan menembusi pasaran China.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, berkata program itu juga bertujuan untuk mewujudkan hubungan dan peluang yang terbaik untuk usahawan teknologi tempatan.

Katanya, kerjasama dengan Huawei Cloud adalah bukti komitmen perbadanan itu untuk memupuk dan menginkubasi perusahaan perisian Malaysia yang kukuh.

"Program Pemecut Global Go menawarkan sistem sokongan yang komprehensif, termasuk kepakaran teknikal global dan serantau, perkongsian komuniti rakan kongsi dan peneraju, sambungan ekosistem yang dibantu oleh pasukan operasi yang berdedikasi.

"Program ini turut menawarkan pelaburan sehingga AS$5 juta (RM23.4 juta) termasuk kredit Huawei Cloud sepanjang program ini pada 2024, mempamerkan dedikasi kami untuk memupuk pertumbuhan yang mampan.

"MDEC dan Huawei Cloud berganding bahu dalam komitmen kami untuk memupuk dan menginkubasi perusahaan perisian Malaysia yang kukuh. Inisiatif ini bukan semata-mata untuk memupuk pertumbuhan, ia mengenai mewujudkan rakan kongsi yang mampan yang bersedia untuk berkhidmat kepada perusahaan berskala sederhana hingga besar di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Infrastruktur dan Aplikasi Kementerian Komunikasi dan Digital, Mohd Nazrol Marzuke dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun.

Sementara itu, Sun berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama rapat dengan MDEC dan teruja untuk melancarkan program berkenaan yang bertujuan untuk menyokong syarikat tempatan ke pasaran global dan mengembangkan perniagaan mereka.

"Huawei akan terus bekerja keras untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk membina ekosistem tempatan di Malaysia dan juga di peringkat global.

"Tahun depan menandakan satu lagi peristiwa penting, iaitu ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, serta ulang tahun ke-23 penubuhan Huawei Malaysia.

"Kami berharap kerjasama dengan MDEC ini akan membantu dalam mempromosikan komunikasi serta pertukaran antara perusahaan teknologi kedua-dua China dan Malaysia, dan dengan penggunaan platform awan Huawei, mempercepatkan pengembangan perniagaan antarabangsa mereka," katanya.

Berita Harian X