Khamis, 30 November 2023 | 5:03pm
Idham berucap pada majlis pelancaran pelan pascabayar 5G CelcomDigi di Subang Jaya, hari ini -NSTP/Aziah Azmee
Idham berucap pada majlis pelancaran pelan pascabayar 5G CelcomDigi di Subang Jaya, hari ini -NSTP/Aziah Azmee

Usaha gabung rangkaian Celcom, Digi akan dipercepat

PETALING JAYA: CelcomDigi Bhd sedang mempertimbangkan untuk mempercepatkan usaha gabungan antara rangkaian Celcom dan Digi kerana syarikat itu berada di landasan yang betul bagi mencapai integrasi 30 peratus menjelang akhir tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi. Datuk Idham Nawawi, berkata integrasi dan pemodenan rangkaian telah mencapai lebih 4,400 tapak pada akhir Oktober 2023, bersamaan dengan 80 peratus daripada rancangan syarikat.

"Kami mungkin membuat penggabungan lebih banyak tahun ini daripada apa yang kami rancang sebelumnya, iaitu 30 peratus akan dilakukan tahun ini, manakala 40 peratus pada tahun depan dan baki 30 peratus menjelang tahun ketiga," katanya selepas merasmikan pelancaran pelan pascabayar semua dalam satu 4G dan 5G CelcomDigi, hari ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada CelcomDigi akan menetapkan sasaran baharu, beliau berkata jumlah itu tidak jauh berbeza daripada sasaran awal.

Sebelum ini, CelcomDigi berkata penggabungan akan menyaksikan penyepaduan menyeluruh rangkaian dan dijangka selesai dalam tempoh 24 hingga 30 bulan akan datang selepas penyatuan 12,000 tapak masing-masing daripada Celcom dan Digi ke dalam rangkaian tunggal berjumlah 18,000 tapak.

Sementara itu, CelcomDigi telah memperkenalkan pelan Pascabayar 5G CelcomDigi terbaharu, seterusnya mempelawa rakyat Malaysia menikmati pengalaman sambungan 5G yang lebih luas serta rangkaian terpantas di Malaysia.

Idham berkata, pelan baharu itu menegaskan komitmen CelcomDigi untuk menjadi jenama dan rangkaian yang boleh dipercayai oleh semua rakyat Malaysia bagi menyediakan mereka sambungan 4G dan 5G untuk semua keperluan sambungan.

Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna CelcomDigi, Praveen Rajan, berkata rangkaian baharu pelan pascabayar semua dalam satu dengan akses Internet 4G dan 5G itu didatangkan lengkap dengan faedah tambahan menarik yang direka untuk memenuhi keperluan ketersambungan berbeza pelanggan.

"Kami melancarkan enam pelan Pascabayar 5G CelcomDigi yang disertakan dengan kuota Internet dan kelajuan 5G yang hebat.

"Semua pelan 5G ini akan memberikan pelanggan akses kepada Internet 4G dan 5G pada bila-bila masa di mana-mana sahaja," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X