Khamis, 30 November 2023 | 3:38pm
Idham (kiri) bersama Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna CelcomDigi, Praveen Rajan pada majlis pelancaran pelan Postpaid 5G CelcomDigi di Subang Jaya, hari ini -NSTP/Aziah Azmee
Idham (kiri) bersama Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna CelcomDigi, Praveen Rajan pada majlis pelancaran pelan Postpaid 5G CelcomDigi di Subang Jaya, hari ini -NSTP/Aziah Azmee

CelcomDigi perkenal pelan pascabayar 5G serendah RM80

SUBANG JAYA: CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) memperkenalkan pelan Postpaid 5G lengkap tanpa had dengan tawaran hebat untuk keluarga, peranti, perayauan dan fiber kediaman pada harga serendah RM80.

Dengan pelan Postpaid 5G CelcomDigi baharu, pelanggan mempunyai pilihan untuk memilih mana-mana daripada enam pelan tersedia dengan kuota Internet dan kelajuan 5G.

Semua pelan 5G itu akan memberikan pelanggan akses kepada Internet 5G dan 4G pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Enam pelan berkenaan ialah Postpaid 5G 80; Postpaid 5G 100; Postpaid 5G 120; Postpaid 5G 140; Postpaid 5G 160; dan Postpaid 5G 260.

Tersedia mulai esok, rangkaian baharu pelan pascabayar lengkap dengan akses internet 5G dan 4G itu dilengkapi dengan faedah tambahan menarik tambahan yang direka untuk memenuhi keperluan ketersambungan berbeza pelanggan.

Bagi pelan Postpaid 5G 80, pelanggan akan menikmati Internet 4G/5G sebanyak 90GB dan kelajuan 5G sehingga 100Mbps.

Untuk Postpaid 5G 100 pula membabitkan Internet 4G/5G 150GB dan kelajuan 5G sehingga 300Mbps.

Pelanggan yang melanggan Postpaid 5G 120 dan ke atas akan menikmati Internet 5G dan 4G tanpa had.

Semua pelanggan juga akan menikmati panggilan tanpa had dan rebat tambahan RM10 ke atas komitmen bulanan dengan mana-mana kontrak.

Selain itu, pelanggan mempunyai pilihan untuk memasukkan sehingga enam talian keluarga dengan pelan Postpaid 5G mereka bermula RM30 sebulan.

Pelanggan yang melanggan Postpaid 5G 120 dan ke atas juga boleh memilih pelan Family Plus untuk mendapatkan Internet 5G dan 4G tanpa had.

Untuk meningkatkan lagi gaya hidup digital, pelanggan boleh memilih Gadget Sims tambahan untuk menjana peranti tambahan bermula daripada RM30 sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi, berkata pihaknya komited membawa rakyat Malaysia satu set tawaran 5G terbaik di pasaran yang disesuaikan khas untuk tawaran nilai terbaik, pengalaman sambungan 5G dan tawaran konvergen terbaik, di seluruh Malaysia termasuk rangkaian terpantas 4G/LTE.

Justeru, katanya, pelan baharu yang ditawarkan CelcomDigi menggariskan komitmen syarikat telekomunikasi itu untuk menjadi jenama dan rangkaian yang boleh dipercayai oleh semua rakyat Malaysia.

"Pelan baharu ini akan memberikan pelanggan sambungan 4G yang boleh dipercayai dan melancarkan kuasa 5G untuk semua keperluan ketersambungan yang bukan saja boleh dimanfaatkan oleh 20 juta pelanggan sedia ada kami, malah pelanggan baru," katanya pada sidang media pelancaran pelan Postpaid 5G CelcomDigi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, CelcomDigi juga menawarkan pengguna pelan konvergen yang lengkap untuk menikmati pengalaman mudah alih dan fiber di rumah terbaik.

Dengan hanya RM260 sebulan pengguna yang melanggan Postpaid 5G 260 akan menerima fiber berkelajuan 300Mbps bersama Internet 5G dan 4G serta panggilan tanpa had, dan penjimatan 50 peratus bagi pelan Family dan Gadget Sims.

Sebagai promosi pelancaran, pengguna CelcomDigi yang ingin menaik taraf pelan mereka kepada Postpaid 5G 260 akan mendapat harga komitmen RM200 sebulan bersama rebat yang lain.

Selain itu, CelcomDigi juga membantu lebih ramai pengguna yang ingin menaik taraf kepada telefon 5G melalui pelan terbaharunya iaitu Easy360, pelan ansuran sehingga 36 bulan yang mudah, tanpa bayaran pendahuluan dan caj faedah untuk telefon 'flagship' premium seperti iPhone 15, Samsung Z Fold dan Flip 5, serta Oppo Flip N3.

Terdapat juga Pakej MegaJimat untuk telefon 5G Samsung Galaxy M14 5G, ZTE Blade A73 5G dan Vivo Y27 5G dengan langganan pelan Postpaid 5G 80.

Berita Harian X