Selasa, 28 November 2023 | 4:53pm
Fahmi berucap merasmikan program PNB Planet Cyber 2023 anjuran PNB di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Fahmi berucap merasmikan program PNB Planet Cyber 2023 anjuran PNB di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim

AI boleh atasi kekurangan pakar keselamatan siber di Malaysia

KUALA LUMPUR: Teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat berupaya bertindak sebagai penyelesaian mengatasi masalah kekurangan tenaga pakar dalam keselamatan siber di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata Malaysia memerlukan kira-kira 27,000 tenaga pakar dalam keselamatan siber berbanding hanya 15,000 tenaga pakar yang ada ketika ini.

"Kita masih kekurangan 12,000 tenaga pakar lagi, saya percaya dengan usaha termasuk penubuhan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber oleh Blackberry pada suku pertama tahun depan dapat membantu meningkatkan jumlah pakar dalam keselamatan siber.

"Pada masa sama, ada beberapa kaedah termasuk aplikasi yang menggunakan AI. PNB Planet Siber ada menonjolkan syarikat yang menggunakan AI untuk membantu aspek 'firewall'.

"Namun, secara asasnya kita masih memerlukan tenaga pakar, contohnya organisasi perlu mewujudkan jawatan yang dikenali sebagai CISO (Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat) dan ini penting untuk mengendali dan menyelaras aspek keselamatan siber dalam organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program PNB Planet Cyber 2023 anjuran Permodalan Nasional Bhd (PNB) di sini, hari ini.

Program PNB Planet Cyber 2023 bermatlamat memupuk kerjasama antara industri dalam menangani isu-isu keselamatan siber.

Yang turut hadir, Pengerusi PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Fahmi berkata, kerajaan menyambut baik pelbagai inisiatif PNB yang sejajar dengan agenda nasional Malaysia berkaitan keselamatan siber.

Katanya, ia termasuk Dasar Keselamatan Siber PNB, yang menyediakan rangka kerja keseluruhan untuk keselamatan siber di PNB, termasuk pengurusan risiko siber, tindak balas insiden dan latihan kesedaran.

"Dasar Keselamatan Maklumat PNB menyediakan panduan khusus mengenai perlindungan aset maklumat PNB, termasuk data, sistem dan aplikasi serta Polisi Pengurusan Kesinambungan Perniagaan PNB yang memastikan PNB dapat terus beroperasi sekiranya berlaku insiden keselamatan siber.

"Inisiatif-inisiatif ini adalah langkah proaktif dan strategik serta meningkatkan keyakinan orang ramai terutama pelabur PNB mengenai langkah-langkah keselamatan siber bagi melindungi pelaburan dan data peribadi mereka," katanya.

Fahmi turut mengingatkan bahawa penipuan siber boleh terjadi kepada mana-mana individu termasuk golongan menteri.

"Satu ketika, Tan Sri Wan Junaidi (Speaker Dewan Negara) menceritakan kepada saya beliau mendapat mesej daripada Tengku Datuk Seri Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri). Dia cakap boleh tak pinjam duit. Saya tak cukup RM3,000.

"Apa yang dibuat, dia hubungi Tengku Zafrul dan beliau berkata tidak, seseorang menggunakan identiti saya. Ini menunjukkan menteri dan marhaen, semua perlu berhati-hati," katanya.

Berita Harian X