Selasa, 22 Ogos 2023 | 2:49pm
Fahmi berucap merasmikan Persidangan Industri Ekonomi Digital Islam 2023 di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA
Fahmi berucap merasmikan Persidangan Industri Ekonomi Digital Islam 2023 di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA

Kerajaan beri jaminan harga 5G tak bebankan rakyat

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memberi jaminan liputan 5G tidak akan membebankan rakyat dengan harga yang tinggi kepada rakyat.

Hal ini kerana, terdapat laporan menyatakan beberapa pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mengenakan caj tambahan bagi peralihan kepada 5G serta tawaran harga yang tinggi.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata KKD mengambil maklum mengenai perkara itu dan akan mengadakan perbincangan dengan MNO dalam masa terdekat.

Beliau berkata, harga yang tinggi dan caj tambahan adalah isu yang ingin diselesaikan oleh KKD bagi membolehkan kadar peralihan yang tinggi kepada rangkaian 5G sekaligus mencapai sasaran yang dikehendaki negara.

"Tidak semua MNO mengenakan caj tambahan tetapi saya akan berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MNO dalam masa terdekat bagi mengatasi perkara ini.

"Kita maklum mungkin terdapat caj dalam proses peralihan kepada MNO tetapi saya berharap isu ini dapat diatasi.

"Malah, isteri saya juga mengemukakan soalan yang sama, kenapa ketika kita beralih dari 3G kepada 4G tidak dikenakan bayaran tetapi bagi 5G sebaliknya pula. Ini soalan yang wajar dan saya akan cuba cari jawapannya," katanya selepas melancarkan Persidangan Industri Ekonomi Digital Islam 2023 di sini. hari ini.

Fahmi berkata, fokus utama KKD ketika ini adalah memastikan perjanjian akses 5G serta penyertaan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd dapat diselesaikan terlebih dahulu sebelum mengatasi beberapa isu lain yang berkaitan.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran liputan rangkaian 5G sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang akhir tahun ini.

Katanya, setakat 31 Julai lalu, rangkaian 5G berada pada 66.8 peratus CoPA, manakala 4G telah mencapai 96.2 peratus CoPA di seluruh negara.

"Apabila sasaran dapat dicapai, baru kita akan memulakan entiti kedua rangkaian 5G.

"Ketika ini, masih belum ada senarai siapa yang akan sertai Entiti A bersama DNB dan Entiti B," katanya.

Berita Harian X