Khamis, 18 Mei 2023 | 1:01pm
Jumlah pelanggan Netflix mencecah rekod tertinggi 232.5 juta orang - Foto AFP
Jumlah pelanggan Netflix mencecah rekod tertinggi 232.5 juta orang - Foto AFP

Pelan murah Netflix dilanggan lima juta pengguna

SAN FRANCISCO: Netflix mengumumkan bahawa pelan penstriman baharu yang disokong oleh iklan meningkat kepada hampir lima juta pengguna di seluruh dunia.

Gergasi penstriman televisyen itu menampilkan rancangan, demografi penonton dan pelbagai lagi dalam satu pembentangan maya 'Upfront' kepada pengiklan.

"Sejak awal tahun ini, asas ahli kami yang melanggan pelan iklan meningkat lebih dua kali ganda," kata ketua bersama Netflix, Greg Peters pada pembukaan acara itu.

"Secara purata, lebih daripada suku pendaftaran kini memilih pelan iklan di negara-negara di mana ia disediakan."

Ketika pertumbuhan di Netflix perlahan tahun lalu, syarikat penstriman berpangkalan di Silicon Valley itu menumpukan untuk membina peringkat langganan berharga lebih rendah yang disertakan dengan iklan.

Keahlian dalam pelan yang disokong iklan itu meningkat lebih dua kali ganda sejak awal tahun ini, berkembang kepada hampir lima juta orang, menurut Netflix.

Netflix pada April lalu berkata, jumlah pelanggannya mencecah rekod tertinggi 232.5 juta orang.

"Kita berkongsi sasaran yang sama," kata Peters kepada pengiklan semasa Upfront.

"Anda mahu menghubungkan pengguna dengan jenama yang hebat, dan kami mahu menghubungkan mereka dengan hiburan yang digemari."

Lebih 70 peratus yang melanggan pelan disokong iklan di Netflix itu adalah dalam lingkungan usia dari 18 hingga 49, menurut syarikat itu.

"Rancangan dan filem Netflix menarik penonton global yang berkali ganda lebih besar berbanding pesaing terdekat kami," kata ketua bersama Netflix, Ted Sarandos.

Semasa Upfront, Netflix menampilkan barisan rancangan termasuk terbitan baharu seperti 'Griselda' yang dibintangi Sofia Vergara dan musim baharu siri asal popular, 'Stranger Things'.

-AFP

Berita Harian X