Jumaat, 7 April 2023 | 6:41pm
MRANTI Park adalah hab inovasi revolusi industri keempat di Kuala Lumpur seluas 277.61 hektar
MRANTI Park adalah hab inovasi revolusi industri keempat di Kuala Lumpur seluas 277.61 hektar

MRANTI tawar persekitaran sesuai realisasikan nilai penuh 5G

KUALA LUMPUR: Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) menawarkan persekitaran pengupayaan yang sesuai melangkaui infrastruktur dan teknologi bagi industri dan perusahaan merealisasikan nilai penuh 5G.

Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar, berkata dengan tekanan untuk mempercepatkan inovasi sambil memperoleh hasil untuk produk dan perkhidmatan baharu, pelaksanaan 5G bagi perusahaan harus menunjukkan hasil kewangan yang positif dengan yakin dan kerjasama merentas sektor merupakan penyelesaian yang sesuai.

"Di MRANTI, kami menghubungkan inovator, penyelidik dan perniagaan dengan sumber dan keupayaan untuk memacu hasil inovasi yang lebih baik.

"Selain perkakasan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan, termasuk syarikat telekomunikasi, kerajaan, inovator korporat, pakar teknikal, akademik dan masyarakat sivil, memainkan peranan penting dalam membangunkan dan memangkin inovasi untuk masa depan yang didorong oleh data yang lebih diperkayakan," katanya dalam satu kenyataan sempena perbincangan meja bulat khas yang diadakan di MRANTI Park hari ini.

Beliau berkata, MRANTI Park, sebuah hab inovasi revolusi industri keempat di Kuala Lumpur seluas 277.61 hektar, akan menyediakan kemudahan kegunaan perusahaan 5G tidak lama lagi.

Dzuleira berkata, Pusat Pengalaman 5G MRANTI, yang akan dilancarkan menjelang pertengahan 2023, akan membuka peluang kepada pelbagai jenis kes penggunaan untuk dibangunkan, termasuk membantu syarikat mencapai matlamat kemampanan dan meningkatkan pengurusan rantaian bekalan, dua agenda utama pelabur dan orang ramai.

"Pusat ini akan mempunyai kawasan untuk prototaip, ujian, demo dan makmal dengan kelajuan sehingga satu gigabait sesaat (GBps) bagi mempamerkan aplikasi industri dan kes penggunaan mengikut sektor," katanya.

Beliau berkata, penyedia perkhidmatan infrastruktur, syarikat telekomunikasi dan perusahaan yang ingin bekerjasama dalam program, menguji Konsep 5G, menguji penyelesaian 5G atau mempelajari mengenai penggunaan 5G dialu-alukan untuk berhubung dengan MRANTI.

"Di MRANTI Park, inovator boleh memanfaatkan rangkaian data 5G yang sangat pantas untuk kecekapan komunikasi yang lebih baik (kadar data yang lebih tinggi, kependaman yang lebih rendah), ketumpatan sambungan (kebolehpercayaan, ketersediaan dan liputan) dan ketepatan kedudukan (mobiliti pengguna yang lebih tinggi)," katanya.

Perbincangan meja bulat khas itu menghimpunkan 20 pemegang kepentingan utama bagi membincangkan isu-isu berkaitan serta berhubung dan bekerjasama dalam inisiatif untuk memajukan reka bentuk, pembangunan dan penggunaan inovasi 5G industri dan perusahaan untuk meningkatkan daya saing Malaysia.

Antara pihak berkepentingan adalah syarikat wajaran tinggi industri, eksekutif tertinggi dan ketua pegawai eksekutif daripada Celcom-Digi, Maxis, Telekom Malaysia, YTL, Huawei, Digital Nasional Bhd (DNB), Ericsson, Persatuan GSM (GSMA) dan banyak lagi.

Perbincangan meja bulat itu susulan daripada memorandum persefahaman tiga pihak baru-baru ini antara MRANTI, DNB dan Ericsson untuk mempercepatkan pengkomersialan penyelesaian sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) yang didayakan 5G, daripada dan untuk perusahaan yang berpangkalan di Malaysia.

-BERNAMA

Berita Harian X