Selasa, 21 March 2023 | 8:53pm
BlackBerry menghentikan perkhidmatan bagi telefon pintar pada tahun lalu - Foto Reuters
BlackBerry menghentikan perkhidmatan bagi telefon pintar pada tahun lalu - Foto Reuters

BlackBerry jual paten mudah alih pada harga RM4 bilion

BENGALURU: BlackBerry Ltd mengumumkan akan menjual paten, terutamanya yang berkaitan dengan peralatan mudah alih, pada harga sehingga AS$900 juta (RM4 bilion) selepas syarikat perisian Kanada itu membatalkan perjanjian terdahulu bersama Catapult IP Innovations Inc.

Malikie Innovations Ltd akan membeli paten berkenaan dan membayar AS$170 juta tunai apabila urus niaga dimuktamadkan, dan AS$30 juta tiga tahun kemudian.

BlackBerry juga akan mendapat royalti tunai tahunan daripada keuntungan dijana daripada paten berkenaan, yang antaranya berkaitan dengan khidmat pesanan dan rangkaian tanpa wayar.

Malikie adalah unit baru ditubuhkan oleh firma penjanaan hasil hartanah, Key Patent Innovations Ltd.

Blackberry tahun lalu berkata ia sedang meneroka pilihan lain untuk menjual patennya apabila perjanjian yang dirancang bersama Catapult mengambil masa lebih lama daripada kebiasaan untuk dimuktamadkan, menyebabkan kehilangan eksklusif.

"Catapult tidak berjaya mendapatkan pinjaman yang akan membolehkannya memuktamadkan transaksi diumumkan sebelum ini dengan terma dipinda yang boleh diterima BlackBerry," kata syarikat Kanada itu dalam satu kenyataan.

Pernah dikenali kerana telefon keluarannya mempunyai papan kekunci fizikal kecil QWERTY dan perkhidmatan pesanan segera BBM, perniagaan teras BlackBerry hari ini adalah keselamatan siber serta perisian digunakan oleh pengeluar kereta.

Tahun lalu, syarikat itu menghentikan perkhidmatan bagi telefon pintar, selepas kehilangan pasaran selama beberapa tahun kepada iPhone keluaran Apple dan peralatan keluaran pesaing, Android.

-Reuters

Berita Harian X