Ahad, 19 March 2023 | 10:53am
Aplikasi dan Kad Prabayar Visa EnrichMoney
Aplikasi dan Kad Prabayar Visa EnrichMoney

MAG perkenal e-dompet EnrichMoney

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) melancarkan Aplikasi dan Kad Prabayar Visa EnrichMoney, dengan menyasarkan kadar penggunaan e-dompet akan berkembang seiring dengan pemulihan industri pengembaraan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kesetiaan dan Penyelesaian Pengembaraan MAG, Philip See, berkata pelancaran produk itu juga adalah sebahagian daripada pencapaian aspek pendigitalan MAG bagi memberi lebih banyak kemudahan dan keselesaan untuk kalangan ahli Enrich melakukan perjalanan dengan lebih selesa dan fleksibel.

Malah, katanya, kemudahan itu juga tepat pada masanya ketika orang ramai kembali melakukan perjalanan dan pengembaraan serta mengharapkan transaksi yang lebih lancar dan tanpa tunai.

"Ini memaparkan kemajuan kami dari segi mentransformasi Enrich daripada program konvensional untuk penumpang yang kerap melakukan perjalanan kepada penyediaan penyelesaian pengembaraan dan gaya hidup yang holistik.

"Semua orang mahukan fikiran yang tenang (apabila melakukan perjalanan) dan EnrichMoney ini memenuhi keperluan perjalanan mereka," katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran produk itu di sini, semalam.

Pelancaran kemudahan kad dan aplikasi itu diadakan bersempena dengan acara Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2023 pada 17 hingga 19 Mac 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di sini.

Data platform Perjalanan Antarabangsa Visa menunjukkan perbelanjaan oleh pemegang kad Visa bagi Malaysia telah kembali ke tahap hampir 70 peratus berbanding sebelum pandemik pada 2019.

Mengulas selanjutnya, See berkata EnrichMoney adalah satu aplikasi berasingan daripada aplikasi Enrich MAG yang bertumpu kepada tempahan penerbangan.

"E-dompet EnrichMoney digerakkan oleh Merchantrade Asia Sdn Bhd yang turut merangkumi ciri-ciri seperti pembayaran Visa.

"Kemudahan e-dompet pelbagai mata wang ini juga membolehkan pengembara membeli dan menjual sehingga 20 mata wang asing dalam aplikasi itu pada bila-bila masa dan di mana saja.

"Selain itu, mereka juga dapat menikmati pengalaman perjalanan yang lancar menerusi penggunaan kad prabayar itu," katanya.

Pada masa sama, katanya, e-dompet EnrichMoney itu membantu ahli menjejaki perbelanjaan serta dana masing-masing.

Ciri analisis itu membolehkan penggunanya bukan setakat menyemak baki, tetapi melihat rekod transaksi selain mewujudkan kemudahan kotak simpanan bagi perjalanan atau bil tertentu.

-BERNAMA

Berita Harian X