KUALA LUMPUR: Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic) menyasar untuk meningkatkan penguasaan pasaran dalam produk pembersih hampagas kepada 14 peratus bagi tahun kewangan 2023 didorong oleh pengenalan rangkaian siri hos pejal tanpa wayar buatan Jepun dengan Teknologi Float-Lite.
Pengarah Besarnya, Shinichi Tsuda berkata, ketika ini Panasonic menguasai kira-kira 12 peratus pasaran pembersih hampagas pelbagai jenama yang terjual di seluruh Malaysia pada 2022.
Katanya, permintaan untuk produk pembersih hampagas pemegang Panasonic tanpa wayar semakin tinggi dan sejak pandemik COVID-19, kesedaran orang ramai untuk mengutamakan kebersihan turut meningkat.
"Panasonic merekodkan pertumbuhan kukuh dari segi jualan produk pembersih hampagas sejak pandemik melanda dan disebabkan itu lebih menumpukan kepada kesihatan, kebersihan dan kemudahan memberi inspirasi kepada inovasi perkakasan rumah.
"Panasonic juga melancarkan rangkaian siri pembersih hampagas hos pejal tanpa wayar buatan Jepun yang diperluas dengan dua model paling ringan (MC-SB33J dan MC-SB53K) terkini direka untuk menjadikan pembersihan lebih mudah dan bebas tekanan minda.
"Ini berikutan pelancaran pembersih hampagas hos pejal tanpa wayar bebas kusut (MC-SB85K) yang dilancarkan tepat setahun lalu yang sangat popular dalam kalangan ibu bapa mempunyai anak dan haiwan peliharaan berbulu," katanya kepada media pada majlis pelancaran model baharu pembersih hampagas Panasonic di sini, hari ini.
Tsuda berkata, model pembersih hampagas baharu yang dilancarkan itu adalah salah satu daripada tawaran produk berkualiti tinggi Panasonic yang bermanfaat dalam membantu orang ramai menjalani cara kehidupan yang lebih baik.
"Ciri utama model MC-SB33J dan MC-SB53K baharu menggabungkan Teknologi Float-Lite Panasonic dengan ciri pembersihan lantai fleksibel 360 darjah yang menjadikannya mudah dan cekap untuk bergerak ke sudut dan ruang yang sempit.
"Pembersih hampagas ini juga menampilkan pemegang ergonomik baharu yang dimajukan dengan 840 paten, untuk memastikan cengkaman yang selesa dan navigasi mudah.
"Dengan berat hanya 1.3 kilogram, pembersih hampagas Panasonic MC-SB33J mungkin ringan tetapi boleh melakukan pelbagai fungsi dan mudah diangkat untuk membersihkan ruang yang tinggi tanpa menegangkan tulang belakang atau lengan," katanya.
Pengguna juga tidak perlu menyusahkan diri dengan menggunakan pembersih hampagas yang berat untuk melakukan pembersihan harian kerana pembersih hampagas Panasonic ini berkuasa, tangkas dan cukup ringan untuk dikemudi dengan mudah.
Model pembersih hampagas tanpa wayar Panasonic baharu, MC-SB33J (RM1,349), MC-SB53K (RM1,699) dan MC-SB85K (RM2,799) tersedia untuk pembelian di semua pengedar sah Panasonic serta pasaran dan platform dalam talian.