Jumaat, 20 Januari 2023 | 10:03pm
Maxis kekal komited untuk merealisasikan hasrat digital negara - Foto Reuters
Maxis kekal komited untuk merealisasikan hasrat digital negara - Foto Reuters

Maxis tangguh meterai perjanjian akses 5G

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd hari ini mengumumkan ia akan menangguhkan permohonan untuk mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham bagi memeterai Perjanjian Akses (AA) 5G dengan Digital Nasional Bhd (DNB).

Maxis, satu-satunya pengendali rangkaian mudah alih (MNO) utama yang belum memeterai perjanjian itu untuk menyediakan perkhidmatan 5G berkata, ia akan menunggu sehingga kerajaan memuktamadkan dasar pelaksanaan 5G.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan untuk menyemak semula pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini dan menjangkakan dasar pelaksanaan rangkaian 5G akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum akhir suku pertama 2023.

"Sehubungan itu, lembaga pengarah Maxis mengakui kewajaran untuk menangguhkan permohonan mendapatkan kelulusan pemegang saham sehingga dasar pelaksanaan 5G dimuktamadkan.

"Maxis kekal komited untuk merealisasikan hasrat digital negara dan yakin dengan manfaat yang akan dibawakan 5G terhadap perniagaan, pelanggan dan kerajaan untuk memperkasa daya saing Malaysia di rantau ini," katanya.

Maxis pada 2 November 2022 menjelaskan, adalah mandatori untuk syarikat itu mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham bagi memeterai AA dengan DNB, selaras dengan Akta Syarikat 2016 dan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Ia turut berhasrat untuk menyelesaikan proses kelulusan berkenaan pada bulan ini dan melancarkan produk dan perkhidmatan 5G yang berkaitan secara komersial tidak lama kemudian.

Setakat ini, MNO seperti U Mobile Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd (yang kemudiannya bergabung sebagai CelcomDigi) serta YTL Communications Sdn Bhd menandatangani AA 5G dengan DNB pada 30 Okt 2022 untuk menawarkan perkhidmatan 5G di Malaysia.

-BERNAMA

Berita Harian X