Khamis, 5 Januari 2023 | 10:20am
DNB mendakwa pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara sudah mencapai hampir 50 peratus di kawasan berpenduduk - Foto Reuters
DNB mendakwa pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara sudah mencapai hampir 50 peratus di kawasan berpenduduk - Foto Reuters

SKMM arah DNB beri laporan lengkap liputan 5G

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk mengemukakan maklumat terkini mengenai proses pelaksanaan rangkaian 5G oleh syarikat itu.

Ini berikutan gesaan sama yang dibuat Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil supaya DNB menjelaskan bagaimana syarikat itu membuat kesimpulan bahawa pelaksanaan liputan rangkaian 5G di negara ini sudah mencapai hampir 50 peratus.

SKMM berkata, adalah penting untuk DNB memberi penjelasan mengenai maklumat dan laporan yang dikeluarkan mengenai liputan rangkaian 5G.

"DNB perlu mengesahkan perangkaan dan status pencapaian liputan 5G itu perlu diaudit terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Ini kerana, pelaksanaan liputan 5G yang dijalankan oleh DNB adalah di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA)," katanya kepada BH.

SKMM sebelum ini pernah menjalankan pengesahan bersama dengan DNB mengenai kaedah pengiraan liputan kawasan berpenduduk.

Isnin lalu, Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara sudah mencapai hampir 50 peratus di kawasan berpenduduk pada akhir 2022, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 40 peratus.

Nasution berkata, rangkaian itu kini sudah mencapai 15 juta rakyat Malaysia membabitkan 3,900 tapak dan bakal menjangkau lebih 30 juta orang serta perniagaan apabila dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau juga berkata, DNB kini memberi tumpuan penuh ke arah mencapai komitmen 80 peratus kawasan berpenduduk pada akhir 2024 atau lebih awal.

Berita Harian X