KUALA LUMPUR: iQIYI, platform penstriman terkemuka Asia mendedahkan perniagaan penstriman dijangka meningkat ke tahap lebih tinggi dengan langganan perkhidmatan Over-The-Top (OTT) melonjak positif di pasaran Malaysia.
Berdasarkan kaji selidik iQIYI, sejumlah 85.5 peratus responden membayar untuk menonton kandungan menerusi perkhidmatan OTT di Malaysia.
"Selaras dengan itu, 63.16 peratus daripada rakyat Malaysia memiliki sekurang-kurangnya dua langganan, lebih tinggi daripada purata serantau iaitu 57.83 peratus.
"Ini menunjukkan pengguna sanggup membayar untuk hiburan penstriman premium, sekali gus kepada pertumbuhan hasil dua kali ganda kepada iQIYI di Malaysia tahun ini.
"iQIYI juga mencatatkan peningkatan dalam pangkalan peminat sebanyak 157 peratus di TikTok, menjadikannya akaun TikTok paling besar yang pernah dikendalikan oleh sebuah perkhidmatan penstriman," demikian menurut iQIYI dalam satu kenyataan.
Selain itu, kaji selidik iQIYI juga mendapati minat dan selera lebih ketara bagi rancangan Melayu tempatan dalam kalangan penonton antarabangsa.
Dua karya original tempatan pertama iQIYI di Malaysia, 'Rampas Cintaku' dan 'Sorry Naik Lori', telah dipilih sebagai drama Melayu pilihan utama yang ingin ditonton oleh responden dari Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).
"Tambahan lagi, 'Rampas Cintaku' menerima lebih daripada 100 juta tontonan digital pada akhir musim pertama, menjadikannya rancangan tempatan terutama yang sanggup dibayar oleh rakyat Malaysia. Drama ini juga meraihkan tontonan dari luar negara," katanya.
Di enam pasaran yang dikaji selidik, responden menyatakan 'kepelbagaian kandungan', 'kemampuan' dan 'ciri eksklusif' adalah sebab utama yang mendorong mereka melanggan perkhidmatan OTT.
Di kalangan penonton Malaysia, 57 peratus responden menyatakan 'kepelbagaian bahasa' sebagai faktor utama yang menentukan keputusan melanggan perkhidmatan OTT, sekali gus mencerminkan latar belakang budaya Malaysia dalam penggunaan hiburan hariannya.
Pilihan rancangan penstriman yang lebih luas dan keinginan untuk menonton kandungan pelbagai bahasa juga menyaksikan pertambahan minat bagi kandungan bahasa Asia lain menjangkaui drama tempatan dan genre K-drama yang popular.
"Di Malaysia, walaupun 50 peratus daripada responden aktif mencari rancangan Bahasa Melayu, hampir 47.5 peratus juga aktif mencari drama Cina yang terbaru dan menarik untuk ditonton. Satu pemerhatian jelas ialah pertumbuhan bilangan penonton Malaysia yang menonton rancangan dalam bahasa Cina.
"Platform ini mencatatkan pertumbuhan 123 peratus dalam penggunaan sari kata bahasa Melayu untuk menonton rancangan Drama Cina. Drama Cina klasik (44 peratus) dan siri romantik Cina (36 peratus) kekal sebagai genre popular dalam kalangan penonton di Malaysia," katanya.
Pengurus Negara iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam, berkata pendekatan perkhidmatan iQIYI kepada penonton memberi tumpuan khusus kepada usaha meraikan kandungan Asia dengan cara yang inovatif menerusi lensa dan suara yang asli, nyata dan berbeza.
"Daripada kaji selidik ini, jelas bahawa usaha ini mendapat sambutan baik di dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga penonton luar negara. Kami akan terus memenuhi permintaan penonton yang ingin melihat jalan cerita unik menerusi drama Cina premium dan rancangan original tempatan.
"Ini adalah sejajar dengan komitmen kami untuk menjadi pilihan penstriman utama bagi hiburan Asia yang digemari," katanya.