Selasa, 15 November 2022 | 2:26pm
Dari kiri: Ketua Perbankan Pengguna, CIMB Bank, Daniel Cheong; Pengurus Besar - Perkhidmatan & Sokongan Kad, Public Bank,Tee Chui Chee; Pengarah Pembangunan Perniagaan, Mastercard Malaysia, Hanif Yaakob; Ketua Kewangan dan Perjalanan Google Malaysia, Nick Drew; Ketua Pembayaran Hong Leong Bank, Ong Shi Jie; Ketua Pembangunan Perniagaan Visa Malaysia, Clarice Yao; dan Timbalan Ketua Pegawai Teknologi AirAsia, Mohamed Galal pada majlis pengenalan perkhidmatan Google Wallet di Malaysia - Foto ihsan Google Malaysia
Dari kiri: Ketua Perbankan Pengguna, CIMB Bank, Daniel Cheong; Pengurus Besar - Perkhidmatan & Sokongan Kad, Public Bank,Tee Chui Chee; Pengarah Pembangunan Perniagaan, Mastercard Malaysia, Hanif Yaakob; Ketua Kewangan dan Perjalanan Google Malaysia, Nick Drew; Ketua Pembayaran Hong Leong Bank, Ong Shi Jie; Ketua Pembangunan Perniagaan Visa Malaysia, Clarice Yao; dan Timbalan Ketua Pegawai Teknologi AirAsia, Mohamed Galal pada majlis pengenalan perkhidmatan Google Wallet di Malaysia - Foto ihsan Google Malaysia

Google Wallet kini boleh digunakan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Dengan pembayaran tanpa tunai yang semakin menjadi pilihan untuk pengalaman yang lancar, Google mengumumkan bahawa Google Wallet kini tersedia di Malaysia.

Google Wallet menawarkan pengalaman pembayaran yang lebih selamat, mudah dan lebih membantu kepada orang ramai selain menyokong pelbagai item digital seperti pas masuk.

Untuk bermula, pengguna boleh memuat turun Google Wallet daripada Gedung Google Play sekarang.

Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo, berkata berdasarkan laporan e-Conomy SEA 2022, pembayaran digital semakin popular dan dijangka mencecah hampir AS$200 bilion dalam nilai transaksi kasar di Malaysia menjelang 2025.

"Dengan jutaan rakyat Malaysia kini menggunakan telefon mereka setiap hari untuk membuat pembayaran, Google teruja untuk membawa Google Wallet ke Malaysia.

"Melalui Google Wallet, rakyat Malaysia boleh mengetik untuk membayar di kedai atau membuat pembayaran dalam talian dengan lancar.

"Mereka juga boleh mengakses pas masuk dengan mudah apabila keluar untuk percutian akhir tahun. Google Wallet membantu memastikan segala-galanya dilindungi di satu tempat, tidak kira ke mana anda pergi," katanya dalam satu kenyataan.

Bermula hari ini, pemegang kad CIMB Bank (kad kredit Mastercard), Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (kad debit dan kad kredit Visa serta Mastercard), dan Public Bank (kad kredit dan debit Visa), akan dapat menambahkan kad pada Google Wallet dan membayar menggunakan telefon Android atau peranti Wear OS di mana pembayaran tanpa sentuh diterima.

Pemegang Kad HSBC (kad kredit Visa dan Mastercard) dan HSBC Amanah (kad kredit Visa dan Mastercard) juga akan dapat menambahkan kad mereka pada Google Wallet tidak lama lagi.

Kad-kad bayaran dari Google Wallet dapat digunakan untuk membayar secara dalam talian untuk jenama seperti Airbnb, Al-Ikhsan Sports, Applecrumby, Eat Cake Today, Shopee, atau di mana saja terdapatnya butang Google Pay.

Bagi mereka yang akan bercuti akhir tahun, selain mengetik untuk membayar perjalanan menaiki kereta api ke lapangan terbang, mereka juga boleh menambah pas masuk dari AirAsia dan dalam bulan-bulan akan datang, juga dari Malaysia Airlines.

Dengan pas masuk dalam Google Wallet, mereka akan dimaklumkan mengenai perubahan pada masa berlepas dan perubahan pintu masuk untuk memastikan mereka boleh melalui pintu masuk di lapangan terbang.

Tambahan pula, mereka akan dapat mengetik dan membayar dengan cara yang selamat menggunakan Google Wallet semasa perjalanan ke luar negara, tanpa memerlukan kad fizikal.

Privasi dan keselamatan merupakan asas Google Wallet kerana ia menjamin keselamatan telefon Android dan ia termasuk tokenisasi standard industri.

Apabila menggunakan Google Wallet, urus niaga dibuat menggunakan nombor kad ganti (token), yang khusus kepada peranti dan dikaitkan dengan kod keselamatan dinamik yang berubah dengan setiap transaksi.

Berita Harian X