Selasa, 8 November 2022 | 7:45pm
Digi Telecommunications Sdn Bhd - Foto fail NSTP
Digi Telecommunications Sdn Bhd - Foto fail NSTP

Pelanggan Digi boleh naik taraf 5G secara percuma

SUBANG JAYA: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) hari ini mengumumkan akses 5G akan mula tersedia buat pelanggan pada 10 November 2022, bermula dengan pelanggan Digi Postpaid.

Pelanggan baharu dan sedia ada yang menggunakan pelan Digi Postpaid 90, 120, 150 dan Family Unlimited 200 yang dalam jualan kini mempunyai pilihan menaik taraf pelan mereka untuk menikmati akses 5G tanpa kos tambahan.

Ini termasuk pelanggan PhoneFreedom 365 dan Pakej PowerJimat di bawah pelan terbabit.

Digi berkata, pelanggan Digi Postpaid yang layak boleh memilih untuk menaik taraf pelan mereka kepada 5G hanya dengan mengaktifkan 5G Speed ​​Booster melalui aplikasi MyDigi, sekiranya mereka menggunakan peranti yang menyokong teknologi 5G dan berada dalam liputan rangkaian 5G.

Ia berkata, Digi akan terus menyediakan akses 5G secara beransur-ansur kepada lebih ramai pelanggan meliputi pelan yang lebih meluas termasuklah Digi Prabayar, dalam masa terdekat.

"Memandangkan 5G adalah teknologi yang baru diperkenalkan di Malaysia dan liputannya yang semakin berkembang dari hari ke hari, Digi menyerahkan keputusan untuk menaik taraf ke 5G di tangan pelanggan supaya mereka boleh melakukannya apabila sudah bersedia.

"Apabila ingin menaik taraf ke 5G, pelanggan hanya perlu melalui proses pengaktifan layan diri yang mudah untuk mengaktifkan kelajuan 5G pada pelan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Digi berkata, dengan akses kepada perkhidmatan 5G, pelanggan akan menikmati kelebihan Internet yang lebih pantas dan kadar lengahan atau 'latency' yang lebih baik berbanding dengan pengalaman 4G.

"Teknologi baharu ini akan memperkayakan keseluruhan pengalaman ketersambungan dan dalam talian, termasuklah untuk permainan, penstriman, panggilan video serta muat turun," katanya.

Pelanggan pelan Digi Postpaid yang layak dan berminat untuk menikmati 5G boleh mengikuti langkah di bawah untuk mengaktifkan 5G bermula Khamis ini.

Langkah 1: Muat turun dan lancarkan aplikasi MyDigi.

Langkah 2: Klik "Buy Add-Ons"

Langkah 3: Pilih "5G Speed ​​Booster" dan sahkan pengaktifan secara percuma.

Pelanggan Digi Business di bawah pelan Go Digi 98 dan 128 juga mempunyai pilihan untuk mengaktifkan akses kepada perkhidmatan 5G pada pelan mereka menggunakan langkah yang sama seperti di atas.

Untuk menyemak kawasan liputan 5G dan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej peranti 5G Digi atau 5G secara umum, boleh layari https://digi.my/5G.

Berita Harian X