Rabu, 2 November 2022 | 9:22pm

Pemegang saham Maxis tentukan perjanjian akses 5G dimeterai

KUALA LUMPUR: Lembaga pengarah Maxis Bhd akan mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham untuk memeterai perjanjian akses 5G dengan Digital Nasional Bhd (DNB).

Maxis berkata, tindakan itu adalah selaras dengan Seksyen 223 Akta Syarikat 2016 dan perenggan 10.07 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa.

"Lembaga pengarah telah menilai keperluan tadbir urus dan mengikut kepada nasihat profesional, percaya bahawa adalah mandatori bagi Maxis untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham memandangkan sifat perjanjian akses dan kepentingan yang terbabit," kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Maxis berkata, syarikat itu komited untuk memainkan peranan aktif dan peneraju dalam membawa 5G ke dalam negara, sejajar dengan aspirasi digital kerajaan melalui rangkaian DNB.

Ia juga berharap untuk menawarkan perkhidmatan 5G yang terbaik kepada semua pelanggannya serta menumpukan pada pelancaran 5G sebagai sebahagian daripada rangkaian tawaran dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, katanya.

Maxis berhasrat menyelesaikan proses kelulusan menjelang Januari 2023, dan melancarkan produk serta perkhidmatan 5G secara komersial tidak lama kemudian.

"Sebarang pengumuman lanjut yang terperinci akan dikeluarkan dalam masa terdekat," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X