Rabu, 2 November 2022 | 12:16pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto fail NSTP
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto fail NSTP

Rakyat bakal nikmati rangkaian 5G pantas, harga mampu milik

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia dijangka meraih manfaat kelajuan pantas dan ketersambungan 5G dengan lebih inklusif pada harga mampu milik tidak lama lagi susulan kejayaan pemeteraian Perjanjian Akses 5G oleh lima Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) Malaysia dan Digital Nasional Bhd (DNB), kelmarin.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemeteraian perjanjian awal minggu ini adalah pencapaian penting dalam melaksanakan visi 5G negara bagi memacu pembangunan ekonomi digital jangka panjang.

"Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) telah menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing bersama DNB.

"Dengan penyertaan lima MNO ini dalam penyediaan akses borong oleh DNB, pelanggan mereka dijangka akan dapat menerima manfaat kelajuan pantas dan ketersambungan 5G dengan lebih inklusif pada harga mampu milik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, DNB komited untuk mempercepatkan pembangunan rangkaian dan infrastruktur 5G di Malaysia.

"Rangkaian 5G kini meliputi hampir 11 juta penduduk di seluruh Malaysia, bersamaan dengan lebih daripada 33 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

"Setakat akhir Ogos 2022, DNB kekal berada di landasan untuk mencapai kira-kira 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang akhir 2024.

"Kos pembangunan rangkaian 5G adalah RM16.5 bilion dalam tempoh 10 tahun, tanpa sebarang pembiayaan atau jaminan kerajaan selain suntikan ekuiti bernilai RM500 juta untuk memulakan operasi syarikat DNB," katanya.

Beliau menjelaskan, dengan pelaksanaan rangkaian borong tunggal 5G yang pertama di dunia oleh DNB, MNO dalam industri telekomunikasi Malaysia berpotensi dapat menjimatkan kira-kira RM30 bilion dari segi kos pembinaan infrastruktur dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Ini akan membolehkan MNO untuk memberi tumpuan kepada penambahbaikan perkhidmatan 4G dan penyediaan perkhidmatan 5G yang inovatif dan bernilai tinggi bagi manfaat rakyat dan perniagaan.

"Pewujudan perkhidmatan 5G juga akan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan inovasi yang dijangka akan mewujudkan 750,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dan menjana RM650 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara kumulatif sehingga 2030," katanya.

Berita Harian X