KUALA LUMPUR: Maxis Bhd kini masih menilai keperluan tadbir urus untuk perjanjian akses 5G dan komited untuk menyelesaikannya secepat mungkin.
Syarikat telekomunikasi itu berkata, ia juga komited untuk memainkan peranan aktif dalam penyediaan 5G selaras dengan cita-cita digital negara, serta menggunakan rangkaian Digital Nasional Bhd (DNB) untuk perkhidmatan 5G.
"Maxis juga menantikan peluang untuk membawa perkhidmatan dan penyelesaian 5G terbaik kepada pelanggan dan yakin untuk melancarkan 5G dalam masa yang terdekat.
"Maxis akan terus menyokong aspirasi 5G negara dalam mengukuhkan daya saing Malaysia di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Maxis telah pun membangunkan kes penggunaan rentas industri dan menjalin perkongsian dengan pemain utama untuk perkhidmatan dan penyelesaian 5G.
-BERNAMA