Isnin, 31 Oktober 2022 | 1:25pm
Telekom Malaysia Bhd (TM) - Foto fail NSTP
Telekom Malaysia Bhd (TM) - Foto fail NSTP

TM meterai perjanjian akses perkhidmatan 5G

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) menandatangani Perjanjian Akses (AA) dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi melanggan perkhidmatan 5G terkawal DNB termasuk Produk Rangkaian Borong 5G Nasional.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu berkata, urus niaga TM dengan DNB bagi 12 bulan adalah berjumlah RM64.8 juta.

Katanya, melalui perjanjian itu juga, terma dan syarat untuk perkhidmatan telah ditetapkan bermula secara retrospektif pada 7 Oktober 2022 dan akan terus berkuat kuasa sehingga tamat tempoh 10 tahun iaitu pada 6 Oktober 2032.

"Di bawah perjanjian AA, DNB akan menyediakan Produk Rangkaian Borong 5G Nasional, produk asas pada Rangkaian Akses 5G DNB.

"TM mesti melanggan Produk Rangkaian Borong 5G Nasional untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan 5G lain ditawarkan oleh DNB," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

TM berkata, jalinan perjanjian ini menunjukkan komitmen terhadap penciptaan nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan dengan memanfaatkan teknologi 5G untuk menyampaikan ketersambungan, penyelesaian dan pengalaman pelanggan yang terbaik dalam kelasnya.

Katanya, 5G akan mempercepatkan matlamat TM menawarkan Penumpuan Mudah Alih Tetap (FMC) dan penyelesaian digital termaju untuk memenuhi keperluan dinamik dan berkembang masyarakat, perusahaan, industri dan negara.

"Dengan 2.9 juta pelanggan jalur lebar tetap pada separuh pertama 2022, penyediaan perkhidmatan 5G akan meningkatkan kedudukan TM sebagai rakan kongsi pilihan dalam mempercepatkan penggunaan FMC melalui penyelesaian 5G dan jalur lebar tetap.

"Melalui infrastruktur rangkaian komprehensif, produk dan perkhidmatan yang inovatif, peningkatan kemahiran dan pemerolehan bakat teknologi, TM berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong aspirasi ekonomi digital negara," katanya.

TM berkata, di samping membolehkan ekosistem 5G sebagai rakan kongsi kepada DNB untuk pelancaran infrastruktur yang lebih pantas, ia juga akan bertindak sebagai penyedia FMC utama ke arah merealisasikan aspirasi Ekonomi Digital Malaysia.

TM adalah antara empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang menandatangani Perjanjian Langganan Saham (SSA) membabitkan 65 peratus pegangan ekuiti dalam DNB pada awal Oktober.

Di bawah SSA itu, TM dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) masing-masing memegang 20 peratus kepentingan manakala Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd pula dengan masing-masing 12.5 peratus kepentingan dan kerajaan memegang baki 35 peratus lagi dan saham khas dalam DNB.

Berita Harian X