Khamis, 1 September 2022 | 2:29pm
Sesi ahli panel yang berlangsung di Brands Future Forum (BFF) LazMall 2022 di Singapura, hari ini.
Sesi ahli panel yang berlangsung di Brands Future Forum (BFF) LazMall 2022 di Singapura, hari ini.

Pandemik lonjak penembusan e-dagang di Asia Tenggara

SINGAPURA: Lazada Group menjangkakan kadar penembusan e-dagang di Asia Tenggara termasuk Malaysia mencecah 63 peratus daripada keseluruhan penduduk di rantau ini kepada 413 juta pengguna menjelang 2025, berbanding 53 peratus kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lazada, James Dong, berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan platform e-dagang itu mendapati, 57 peratus pembeli menggunakan platform e-dagang berbanding enjin carian lain untuk mencari produk yang dimahukan.

Katanya, peralihan itu jelas menunjukkan kepentingan penyelesaian pemasaran e-dagang dan pendigitalan perniagaan untuk mengekalkan daya saing e-dagang dan kekal relevan di tengah-tengah tekanan kenaikan kadar faedah global serta inflasi.

"Pandemik dan sekatan pergerakan di seluruh dunia menyaksikan kebanjiran pengguna serta penjual dalam talian yang memacu pertumbuhan luar jangka e-dagang sejak dua tahun lalu dan pertumbuhan ini kembali normal.

"Bagaimanapun, perkembangan tabiat beli-belah ketika pandemik kekal hari ini dengan kadar penembusan dijangka melepasi angka 63 peratus menjelang 2025 membabitkan jangkaan lebih 400 juta pengguna," katanya ketika menyampaikan ucapan pada acara Brands Future Forum (BFF) LazMall 2022 di sini, hari ini.

Ketika ini, Lazada yang dikuasai firma rangkaian e-dagang dan runcit antara terbesar dunia, Alibaba Group meneroka pasaran Asia Tenggara merangkumi enam negara iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina dan Singapura.

Mengulas lanjut, Dong berkata, pertumbuhan kewangan mampan sentiasa menjadi fokus Lazada, disokong komitmen berterusan platform e-dagang itu menawarkan penyelesaian terbaik kepada pembeli dan peniaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lazada, James Dong.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lazada, James Dong.

"Alibaba telah memberi akses kepada Lazada untuk teknologi dan pengetahuan terbaik termasuk pelaburan yang diperlukan untuk terus melonjak pertumbuhan perniagaan kami.

"Kami juga melabur untuk mewujudkan ekosistem terbuka dengan rakan niaga berbeza seperti runcit, logistik dan pembayaran untuk menyokong jenama dan peniaga berkembang dalam perniagaan dalam talian," katanya.

Baru-baru ini, Lazada melabur dalam dua firma peneraju pembayaran utama di rantau ini iaitu TNG Digital yang memiliki syarikat e-dompet Malaysia, Touch 'n Go eWallet dan DANA, antara penyedia dompet digital terbesar Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Group, James Chang, berkata industri e-dagang Asia Tenggara merekodkan pertumbuhan sangat memberangsangkan dari 2019 hingga 2021, dipacu lonjakan tahap penggunaan pembeli dalam tempoh pandemik.

"Lazada kekal yakin tabiat pembelian pelanggan dengan lapan daripada 10 pengguna terus membeli-belah secara dalam talian pasca pandemik," katanya.

Dalam pada itu, acara BFF LazMall 2022 turut menyaksikan Lazada melancarkan laporan kepimpinan Lazada Sponsored Solution (LSS) bertajuk 'Transforming Southeast Asia: From Discovery to Delivery'.

BFF LazMall edisi ketiga adalah acara perdagangan yang menampilkan pemimpin industri serantau dan rakan niaga Lazada untuk bertukar idea dan inovasi bagi membolehkan jenama dan peniaga memacu perniagaan di pasaran Asia Tenggara.

Berita Harian X