Jumaat, 19 Ogos 2022 | 10:25am
iPhone mula memperkenalkan Apple pada Januari 2007 - Foto AFP
iPhone mula memperkenalkan Apple pada Januari 2007 - Foto AFP

iPhone 14 akan diperkenal 7 September ini

KUALA LUMPUR: Apple Inc dijangka memperkenalkan iPhone 14 dalam satu acara pada 7 September ini, versi terbaharu produk yang menjana lebih separuh daripada jualan gergasi teknologi dunia itu.

Telefon pintar iPhone baharu akan menyertai pelancaran beberapa produk MacBook, iPad dan tiga model Apple Watch, demikian menurut satu laporan oleh Bloomberg.

Barisan baharu iPhone dijangka menggugurkan model mini dan akan terdapat dua model dengan paparan 6.1 inci serta dua model dengan paparan 6.7 inci.

Model iPhone 14 dijangka didatangkan dengan reka bentuk baharu dengan naik taraf kamera swafoto, kamera lebih besar untuk iPhone 14 Prod, manakala model Pro baharu akan mendapat chipset A16.

Model Pro juga dilaporkan akan menampilkan ciri paparan sentiasa dihidupkan.

Apple, yang berpangkalan di Cupertino, California kebiasaannya akan menjual iPhone baharu kira-kira seminggu setengah selepas pelancaran dan ia dijangka mengekalkan trend itu tahun ini.

Beberapa pekerja di gedung runcit telah diberitahu supaya bersiap untuk satu pelancaran produk baharu utama pada 16 September ini.

Pelancaran itu juga dibuat pada ketika Apple baru-baru ini menetapkan tarikh 5 September supaya kakitangan korporat kembali ke pejabat sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Apple, semasa memberitahu pekerja mengenai pelan baharu itu, meminta kakitangan supaya bekerja pada Selasa, Khamis dan hari ketiga yang akan ditentukan oleh pasukan masing-masing.

Acara terakhir diadakan Apple adalah pada Jun lalu untuk mengumumkan set kemas kini perisian iOS 16, iPadOS 16, watchOS 9 dan macOS Ventura.

iPhone mula diperkenalkan pada Januari 2007 apabila pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple pada masa itu, Steve Jobs memperkenalkan telefon yang mengubah dunia semasa konvensyen MacWorld.

Telefon pintar itu mula dijual pada 29 Jun 2007.

Berita Harian X