Ahad, 24 April 2022 | 3:04pm
Ahli Dewan Negara selaku Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi bersama Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha (dua dari kiri); Ketua Strategi dan Perancangan Pengembangan Fiber Maxis, Fasliza Rosli dan Ketua Pemasaran dan Jenama Maxis, Tai Kam Leong (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Kempen Riang Raya Maxis di Kuala Lumpur -NSTP/Aizuddin Saad
Ahli Dewan Negara selaku Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi bersama Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha (dua dari kiri); Ketua Strategi dan Perancangan Pengembangan Fiber Maxis, Fasliza Rosli dan Ketua Pemasaran dan Jenama Maxis, Tai Kam Leong (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Kempen Riang Raya Maxis di Kuala Lumpur -NSTP/Aizuddin Saad

Maxis ketengah pemuzik OKU nyanyi lagu raya

KUALA LUMPUR: Syarikat telelomunikasi, Maxis Bhd mengetengahkan bakat pemuzik jalanan orang kurang upaya (OKU) dalam kempen Riang Raya Maxis yang dipersembahkan melalui kiub secara maya.

Ketua Pemasaran dan Jenama Maxis, Tai Kam Leong, berkata kempen yang mengetengahkan rangkaian Malaysia musim perayaan melalui kuasa teknologi menonjolkan bakat istimewa pemuzik berkenaan yang membuat persembahan di beberapa lokasi secara serentak dari satu tempat.

"Maxis dan Persatuan OKU Sentral bekerjasama dengan pemuzik jalanan OKU dengan memaparkan persembahan mereka di kiub maya.

"Kiub ini dipertontonkan kepada orang ramai di NU Sentral, di sini dan Kota Bahru Mall, Kelantan pada 27 hingga 29 April dengan persembahan lagu mereka juga akan dimainkan di Maxis Stores seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Riang Raya Maxis di Menara Maxis, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral.

Pada majlis sama, Keh Jiat juga melancarkan filem mini perayaan pihaknya bertajuk 'Last Kopek' yang mengisahkan ketabahan kumpulan pemuzik OKU menghadapi cabaran dan bergantung antara satu sama lain sambil memanfaatkan sepenuhnya kebolehan mereka.

Kam Leong berkata, penggunaan digital membolehkan orang ramai termasuk golongan OKU untuk semakin berkembang semasa pandemik ini terutama dari segi menambah mata pencarian dan berkomunikasi.

"Kami percaya bahawa teknologi membolehkan semua orang untuk berhubung antara satu sama lain dengan pelbagai cara walau di mana mereka berada," katanya.

Sementara itu, Ras Adiba berkata, beliau gembira apabila melihat golongan OKU diberi peluang untuk menunjukkan bakat mereka sebagai pemuzik jalanan menerusi kempen yang dijalankan oleh Maxis.

"Menerusi video (filem) berkenaan, orang ramai dapat melihat sendiri kesukaran dialami golongan OKU dalam kehidupan seharian mereka, sekali gus boleh menjadi pencetus kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai komuniti OKU.

"Pada masa sama, saya berharap video ini akan membuka mata pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) korporat serta kerajaan untuk tampil bekerjasama dengan kami (golongan OKU) dalam pelbagai kerjasama termasuk menerusi muzik dan video," katanya.

Dalam pada itu Kam Leong, berkata, orang ramai boleh memberi sumbangan dan berkongsi rezeki dengan mengimbas kod QR pada kuib untuk memderma terus kepada Persatuan OKU Sentral.

"Usaha ini adalah satu usaha menggalakkan penggunaan digital dan teknologi untuk melakukan aktiviti sehari, berhubung dan meningkatkan kesalinghubungan.

"Selain itu, Maxis komited mengenal pasti keperluan pendigitalan OKU untuk menyesuaikan bengkel digital khas di bawah inisiatif eKelas Usahawan," katanya.

Berita Harian X