Jumaat, 25 Februari 2022 | 1:03pm
94.03 peratus daripada semua kawasan berpenduduk menerima liputan mudah alih 4G setakat 30 September 2021 - Foto hiasan
94.03 peratus daripada semua kawasan berpenduduk menerima liputan mudah alih 4G setakat 30 September 2021 - Foto hiasan

SKMM jamin liputan 4G akan bertambah baik

KUALA LUMPUR: Rangkaian 4G akan ditambah baik supaya dapat menawarkan liputan lebih mantap kepada pelanggan selepas perkhidmatan rangkaian 3G ditamatkan secara berperingkat sejak akhir tahun lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata perlu diakui bahawa wujudnya cabaran dalam tempoh peralihan itu, namun jumlah pelanggan yang berdepan masalah liputan lemah adalah kecil.

"Penutupan rangkaian 3G diputuskan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) kerana jumlah infrastruktur dan tahap spektrum yang menyokong 4G adalah tinggi.

"Ia juga disebabkan tingkah laku pengguna akhir ketika ini ke arah penggunaan data berbanding panggilan suara. Kita perlu akui bahawa di peringkat awal terdapat cabaran disebabkan penutupan 3G.

"Justeru, kita akan terus memberi tumpuan untuk memacu dan menambah baik 4G bagi memastikan liputan lebih meluas kepada pelanggan," katanya dalam taklimat media Laporan JENDELA Suku Keempat 2021 secara maya hari ini.

Bagi tempoh Januari hingga Disember 2021, SKMM menerima 200,675 aduan berhubung rangkaian, dengan kualiti perkhidmatan 4G kekal menjadi kebimbangan utama.

Berdasarkan pecahan mengikut lokasi, daripada 20 daerah, Johor Bahru merekodkan aduan tertinggi, diikuti Petaling, Seremban dan Kuala Lumpur serta Klang.

Justeru, industri telekomunikasi sudah menaik taraf menaik taraf 2,661 menara dan membangunkan 86 menara telekomunikasi di lima daerah yang mendapat aduan tertinggi.

Baru-baru ini, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) mendedahkan masih terdapat ramai pengguna mudah alih di negara ini menghadapi masalah rangkaian 4G, malah ada sesetengah kawasan langsung tidak mendapat liputan.

Pengerusi CFM, Muhammad Radzillah Abdullah, berkata dalam laporan suku keempat 2021, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menyatakan bahawa setakat 30 September 2021, 94.03 peratus daripada semua kawasan berpenduduk menerima liputan mudah alih 4G.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat banyak aduan yang dilaporkan dalam media khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar bahawa pengguna masih mengalami masalah atau tiada liputan langsung.

CFM turut meminta SKMM dan penyedia perkhidmatan dapat melaksanakan audit perkhidmatan selular untuk memberi gambaran lebih jelas dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengguna.

Sementara itu, Fadhlullah Suhaimi berkata, SKMM akan melaksanakan audit kualiti 4G di setiap negeri di seluruh negara dengan laporannya akan diterbitkan kepada umum agar dapat memberi maklumat tentang prestasi rangkaian.

"Laporan berkenaan juga akan dikongsikan kepada penyedia perkhidmatan untuk menambah baik liputan di kawasan berkaitan," katanya.

Dalam Laporan JENDELA Suku Keempat 2021, sejumlah 79 peratus atau 1.66 juta daripada 2.1 juta pelanggan 3G sudah beralih ke perkhidmatan 4G, manakala sejumlah 80 peratus atau 203,374 daripada 253,860 rangkaian 3G sudah ditutup setakat tahun lalu.

"Sejumlah 440,852 atau 21 peratus pelanggan sudah dihubungi berhubung peralihan kepada 4G dan mereka memaklumkan akan menunggu sehingga rangkaian 3G ditutup sepenuhnya sebelum beralih ke 4G.

"Bagi baki jumlah rangkaian 3G yang masih ada iaitu 50,486 (20 peratus) pula, kelewatan penutupan rangkaian ini disebabkan isu banjir dan monsun. Kami menjangkakan penutupan sepenuhnya menjelang 31 Mac tahun ini," kata Fadhlullah Suhaimi.

Sejumlah 1.434 juta premis menggunakan jalur lebar tetap bagi tempoh Januari hingga Disember 2021, manakala sejumlah 13,807 stesen asas jalur lebar mudah alih telah dinaik taraf kepada teknologi 4G dengan 250 menara telekomunikasi 4G baharu telah dibina tahun lalu.

Setakat 31 Disember 2021, sejumlah 6.85 juta premis sudah menerima internet berkelajuan 37.30 Mbps melepasi sasaran 2021 JENDELA iaitu 6.5 juta premis dengan kelajuan 30 Mbps.

Bagi tahun ini, Fadhlullah Suhaimi berkata, sejumlah 652,101 premis dijangka dilengkapi ketersambungan fiber, manakala dari aspek liputan 4G pula, sejumlah 1,661 menara baharu akan dibangunkan untuk meningkatkan kualiti mudah alih di seluruh negara.

"Pelaksanaan teknologi 5G juga akan diperluaskan tahun ini di bandar utama di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Johor, Selangor, Sabah dan Sarawak," katanya.

Berita Harian X