Khamis, 17 Februari 2022 | 2:03pm
94.03 peratus daripada semua kawasan berpenduduk di negara ini menerima liputan mudah alih 4G - Foto hiasan
94.03 peratus daripada semua kawasan berpenduduk di negara ini menerima liputan mudah alih 4G - Foto hiasan

Liputan rangkaian 4G di Malaysia masih lemah

KUALA LUMPUR: Terdapat ramai pengguna mudah alih di negara ini menghadapi masalah rangkaian 4G, malah ada sesetengah kawasan langsung tidak mendapat liputan, dedah Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM).

Pengerusi CFM, Muhammad Radzillah Abdullah, berkata dalam laporan suku keempat 2021, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menyatakan bahawa setakat 30 September 2021, 94.03 peratus daripada semua kawasan berpenduduk menerima liputan mudah alih 4G.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat banyak aduan yang dilaporkan dalam media khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar bahawa pengguna masih mengalami masalah atau tiada liputan langsung.

"Tambahan juga, ketersediaan rangkaian 4G dengan peratusan masa pengguna berhubung menggunakan rangkaian 4G bukanlah kayu ukur pencapaian rangkaian yang berkualiti seperti yang dilaporkan oleh OpenSignal, sebaliknya pengalaman pengguna yang harus diambil kira.

"Dengan penutupan rangkaian 3G pada 31 Disember lalu, pengguna sama ada akan mempunyai internet dengan rangkaian 4G, atau tiada internet langsung.

"Ini amat menyukarkan pengguna kerana selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 masih ramai yang amat memerlukan akses internet yang pantas," katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Radzillah berkata, harapan pengguna dengan penutupan 3G adalah perkhidmatan 4G yang lebih baik dan memberi manfaat kerana kebergantungan kepada perkhidmatan internet dalam urusan kehidupan seharian.

"Pengguna memerlukan ketersambungan untuk pelbagai tujuan sama ada bekerja dari rumah akibat kuarantin, peniaga menjalankan aktiviti e-perniagaan yang kini semakin pesat membangun, atau pelajar belajar dari rumah dan mengambil peperiksaan secara dalam talian akibat kekhuatiran serangan pandemik.

"Justeru, CFM menggesa agar peningkatan rangkaian 4G dan seterusnya 5G dipercepatkan segera untuk kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Beliau menegaskan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia perkhidmatan perlu lebih aktif menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengguna.

"Antara perkara yang dapat dilakukan adalah audit perkhidmatan selular di seluruh negara seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak, agar memberi gambaran yang lebih tepat.

"Pengguna yang menghadapi masalah rangkaian perlu melaporkan segera kepada SKMM dan penyedia perkhidmatan masing-masing agar permasalahan ini dapat diatasi bersama," katanya.

Berita Harian X