Rabu, 9 Februari 2022 | 1:21pm
Kempen jenama terbaharu Maxis, ‘Rangkaian Kita Rangkaian Malaysia’ (RKRM)
Kempen jenama terbaharu Maxis, ‘Rangkaian Kita Rangkaian Malaysia’ (RKRM)

Kempen jenama baharu Maxis perkasa rakyat, perniagaan

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd memperkenalkan kempen jenama terbaharu, 'Rangkaian Kita Rangkaian Malaysia' (RKRM), bagi meneruskan komitmen memperkasakan rakyat serta perniagaan dengan kesalinghubungan menerusi pelbagai cara, pada setiap masa dan untuk semua komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, berkata RKRM mewakili pengukuhan tujuan jenama Maxis, iaitu 'Terus Menerajui' yang dilancarkan pada 2020.

Katanya, kempen itu dipacu oleh evolusi Maxis daripada penyedia telekomunikasi mudah alih kepada pakar kesalinghubungan dan penyelesaian digital yang menawarkan pelbagai penyelesaian untuk setiap segmen, dikuasi oleh rangkaian 4G terkemuka, liputan fiber serta inovasi 5G terbaik.

"Maxis adalah jenama tempatan yang dikenali selama lebih daripada dua dekad. Pelaburan dan kerjasama berterusan kami menghasilkan rangkaian komuniti yang kukuh dan rangkaian tertumpu paling meluas di negara ini.

"Semangat RKRM adalah mengenai meraikan kepelbagaian dan Maxis akan terus berkhidmat kepada orang ramai dari semua lapisan masyarakat berdasarkan setiap keperluan unik mereka.

"Apabila semua rakyat Malaysia disambungkan dalam semua aspek, maka inovasi digital tercipta, dan kami mahu meningkatkan peranan kami dalam memperkasakan inovasi ini," katanya pada majlis pelancaran kempen baharu itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Maxis, Loh Keh Jiat, berkata ketika negara menerima realiti digital, Maxis terus menjadi penyedia kesalinghubungan dan penyelesaian tertumpu yang dipercayai.

"Kami teruja dengan perjalanan yang dilalui Maxis dan ini adalah titik permulaan. Kami sudah melihat perubahan dalam tingkah laku hasil daripada dunia fizikal dan digital yang berkembang menjadi hibrid sebenar.

"Kesalinghubungan tertumpu bukan lagi 'mudah untuk dimiliki', tetapi kini menjadi satu keperluan dan pembekal dijangka menawarkan lebih daripada sekadar sambungan mudah alih atau tetap supaya kerja, pengajian dan kehidupan tidak terganggu.

"RKRM ialah perwakilan penting realiti baharu ini dan mengukuhkan lagi komitmen kami kepada semua orang di Malaysia," katanya.

Rangkaian Maxis menghubungkan rakyat Malaysia yang pelbagai melalui inisiatif komunitinya.

Ia termasuk pembelajaran digital selepas sekolah, membina kehadiran digital yang lebih besar untuk usahawan wanita, usaha kemanusiaan serta melabur dalam generasi lelaki dan wanita akan datang, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), bakat kepimpinan dan inovasi.

Berita Harian X