Khamis, 18 Februari 2021 | 7:05pm
Shopee memperkukuhkan infrastruktur logistik untuk menyokong permintaan e-dagang yang meningkat - Foto Shopee
Shopee memperkukuhkan infrastruktur logistik untuk menyokong permintaan e-dagang yang meningkat - Foto Shopee

Shopee tingkat usaha pendekkan masa penghantaran

KUALA LUMPUR: Shopee meningkatkan usahanya untuk memendekkan masa penghantaran untuk penjual dan pembeli di Malaysia bagi memenuhi kebergantungan yang semakin meningkat kepada e-dagang dan keperluan untuk penghantaran yang lebih cepat.

Inisiatif ini termasuk pengenalan 10 lokasi 'drop-off' baharu bagi Shopee Xpress selain kerjasama dengan Parcelhub dan MBE, yang menjadikan jumlah keseluruhan lokasi 'drop-off' kepada lebih 300 di seluruh negara.

Pengarah Urusan Serantaunya, Ian Ho berkata penghantaran yang sebelum ini mengambil masa sehingga 10 hari, malah lebih lama di Malaysia Timur, kini dikurangkan kepada antara satu dan empat hari.

"Kami mengukuhkan lagi infrastruktur ini melalui Shopee Xpress dan kerjasama strategik bersama pemain logistik supaya pembeli dan perniagaan di luar sana dapat menikmati perkhidmatan penghantaran yang lebih baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Shopee memperluaskan rangkaian gudang, hab dan pusat pengasingan di lebih 50 lokasi strategik di seluruh negara termasuk di kawasan seperti Senawang, Bagan Serai, Batu Pahat, Simpang Ampat dan Bayan Lepas untuk menambah baik kecekapan penghantaran termasuk ke bandar-bandar kecil.

Melalui rangkaian logistiknya yang diperluas, Shopee akan memperkenalkan penghantaran hari berikutnya di Semenanjung Malaysia (kecuali di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu) melalui Shopee Xpress, bersempena kempen 3.3 Jualan Pasar Raya.

Pengguna yang melakukan pembelian sebelum jam 12 tengah hari untuk barangan yang bertanda 'Penghantaran Hari Berikutnya' di Shopee Mart akan menikmati perkhidmatan penghantaran pada hari berikutnya (tidak termasuk cuti umum).

Pelanggan yang mengunjungi Shopee semasa 3.3 Jualan Pasar Raya dapat menikmati penghantaran percuma dengan pembelanjaan minimum RM10, tawaran potongan harga 50 peratus setiap hari serta tawaran dari serendah 33 sen.

"Perkhidmatan penghantaran hari berikutnya adalah satu lagi inisiatif apabila Shopee menggunakan teknologi untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna dan penjual kami dengan lebih baik.

"Ekosistem e-dagang kami yang kukuh dimantapkan menerusi perkhidmatan logistik kami, beserta sistem pembayaran bersepadu seperti dompet mudah alih kami iaitu ShopeePay dan ciri dalam aplikasi seperti Shopee Live dan Shopee Chat yang meningkatkan pengalaman membeli-belah," katanya.

Pembayaran dengan ShopeePay turut disaran berikutan pendaftaran keluar lebih cepat, terutamanya apabila cuba mendapatkan tawaran yang terhad.

Saluran penstriman langsung platform e-dagang itu, Shopee Live, turut bekerjasama dengan TV3 untuk membawakan pengalaman membeli-belah TV yang terbaik melalui 3.3 Supermarket Show.

Rancangan ini yang akan menghiburkan rakyat Malaysia dan menampilkan tawaran menarik akan ditayangkan pada 3 Mac, pada 9 malam.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai 3.3 Jualan Pasar Raya, layari https://shopee.com.my/m/3-3

Platform e-dagang itu mengambil langkah terbabit selepas Parcel Monitor dan iPrice Group mendapati sekatan pergerakan berikutan COVID-19 telah memberi impak kepada aspek penghantaran logistik kepada pengguna, iaitu menambah masa penghantaran sebanyak 119 peratus bagi Malaysia.

Pada 2019, Parcel Perform dan iPrice Group melaporkan bahawa penduduk negara Malaysia menghadapi masa menunggu paling lama untuk penghantaran pesanan dalam talian mereka di rantau Asia Tenggara.

-BERNAMA

Berita Harian X