Rabu, 2 Disember 2020 | 6:32pm
Kempen 12.12 Jualan Ulang Tahun Shopee berlangsung sehingga 12 Disember ini
Kempen 12.12 Jualan Ulang Tahun Shopee berlangsung sehingga 12 Disember ini

Shopee perkenal model hibrid dalam talian, fizikal

KUALA LUMPUR: Shopee memperkenalkan model perniagaan hibrid untuk membantu pemilik kedai fizikal berdaftar dengan platform e-dagang miliknya meningkatkan trafik pengunjung bersempena kempen 12.12 Jualan Ulang Tahun Shopee yang berlangsung sehingga 12 Disember ini.

Ketua Pengurusan Peniaga Shopee Malaysia, Zed Li, berkata inisiatif itu termasuk pembelian tiket dan baucar menerusi platform Shopee sebelum penebusan dibuat di kedai fizikal.

Katanya, Shopee juga menawarkan sokongan tunai sehingga RM8 kepada peruncit luar talian setiap hari apabila pengguna melakukan transaksi fizikal menggunakan dompet mudah alih, ShopeePay.

"Kami meluaskan usaha dengan turut membabitkan kerjasama pusat membeli-belah dan pawagam, selain kedai fizikal yang berdaftar dengan Shopee.

"Kami mahu terus menyumbang ke arah kelangsungan bagi perniagaan yang beroperasi secara fizikal sekali gus memanfaatkan trafik Shopee yang tinggi bagi menarik pelanggan," katanya ketika melancarkan 12.12 Jualan Ulang Tahun Shopee secara maya, hari ini.

Turut serta ialah Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh.

Li berkata, Shopee juga akan terus menyokong komuniti perniagaan, sama ada syarikat besar mahupun peniaga mikro menerusi insentif penjual dan pendidikan mengenai e-dagang menerusi 12.12 Bengkel E-dagang Percuma yang dilancarkan baru-baru ini.

Katanya, selain menyokong perniagaan, platform e-dagang berkenaan mengumpul sokongan untuk golongan kurang bernasib baik serta memberi ganjaran kepada pengguna pada 12.12 Jualan Ulang Tahun itu.

"Kami memperkenalkan inisiatif amal #ShopeeGivesBack hasil kerjasama dengan lebih 30 rumah dan organisasi amal seperti MERCY Malaysia dan Zoo Negara bagi mengumpul dana demi usaha masing-masing melalui #ShopeeGivesBack.

"Shopee juga memberi subsidi bayaran yang dikenakan bagi transaksi pembayaran untuk jangka masa 6 bulan demi mempertingkatkan lagi sokongannya kepada organisasi ini," katanya.

Sementara itu, Goh berkata, banyak usaha harus dilakukan kerana ekonomi mengalami kerugian yang diunjurkan berjumlah hingga RM67 bilion akibat kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Katanya, permintaan pengguna yang lemah dan kecairan yang ketat telah menyebabkan perniagaan menghentikan operasi sama ada secara kekal atau sementara.

"Perbelanjaan penggunaan individu akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2021 yang dijangka merangkumi hingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Oleh itu, sektor runcit dan perkhidmatan luar talian harus mencari kaedah baharu untuk berkembang maju dalam persekitaran pasca pandemik untuk mengekalkan pekerja mereka.

"Antara cara adalah dengan mengintegrasikan strategi luar talian dan atas talian bagi mengatasi perubahan yang diwujudkan oleh kebiasaan baharu dan memanfaatkan potensi ekonomi digital yang semakin meningkat," katanya.

Kempen 12.12 Jualan Ulang Tahun Shopee berlangsung sehingga 12 Disember ini menawarkan pengguna penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM12, tawaran RM1 semasa Jualan Kilat Shocking Sale, aiskrim FamilyMart percuma setiap hari daripada Shopee Farm dan banyak lagi.

Shopee juga memperkenalkan rancangan permainan langsung baharu, Shopee Kotak Duit yang memberi ganjaran wang tunai hingga RM12,000 kepada pengguna.

Berita Harian X