Khamis, 13 Jun 2024 | 7:17pm
Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Gambar fail. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit hari ini

KUALA LUMPUR: Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup tinggi dengan pasaran kekal kukuh hasil gabungan aktiviti pengambilan untung dan belian saham pada harga rendah.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.22 mata kepada 1,610.17 berbanding 1,608.95 pada penutup Rabu.

FBM KLCI, yang dibuka lebih tinggi 3.63 mata kepada 1,612.58, bergerak di antara paras 1,609.13 dan 1,616.84.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 798 berbanding 447, manakala 453 kaunter tidak berubah, 703 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 5.91 bilion unit bernilai RM4.35 bilion daripada 7.59 bilion unit bernilai RM5.28 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pelabur kembali memburu harga murah dalam kaunter utiliti dan bank selepas dua hari mengalami kejatuhan, tetapi memilih untuk menolak kaunter telekomunikasi selepas kenaikan sebelumnya.

"Bagaimanapun, pasaran adalah positif dan jumlah dagangan harian kekal kukuh. Kebanyakan bursa serantau utama ditutup lebih tinggi, tetapi hasil bon merosot apabila pelabur mengambil kira inflasi AS yang semakin mereda," katanya.

Thong berkata, saham teknologi kekal menjadi fokus utama pelabur kerana keterujaan terhadap kecerdasan buatan (AI) yang mendorong Wall Street mencatat paras tertinggi walaupun terdapat kebimbangan mengenai kadar faedah yang tinggi dan kelembapan ke atas kuasa ekonomi terbesar dunia itu.

"Di peringkat domestik, kami kekal optimistik dengan berhati-hati terhadap permintaan kukuh dalam industri teknologi, sokongan dan yang berkaitan dengan AI.

"Sehubungan itu, kami menjangka indeks penanda aras akan bergerak dalam julat 1,610-1,625 menjelang hujung minggu dengan paras rintangan serta-merta pada 1,620 dan paras sokongan pada 1,610," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi yang menaikkan indeks, Tenaga Nasional meningkat 26 sen kepada RM14.14, Press Metal mengukuh 17 sen kepada RM6.00, dan YTL Power naik 13 sen kepada RM5.16.

Bagaimanapun, saham wajaran tinggi yang terjejas iaitu CelcomDigi jatuh enam sen kepada RM3.68 dan Telekom Malaysia susut 20 sen kepada RM6.50.

Bagi kaunter aktif, Sapura Energy tidak berubah pada 4.0 sen, JCY naik 11.5 sen kepada 89.5 sen, MYEG meningkat lima sen kepada RM1.14, Agmo bertambah 8.0 sen kepada 71 sen, dan SNS Network pula turun tiga sen kepada 84.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 42.53 mata kepada 12,425.19, Indeks FBMT 100 meningkat 34.18 mata kepada 11,987.64, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 55.86 mata kepada 12,809.70.

Indeks FBM 70 melonjak 153.10 mata kepada 18,286.56 dan Indeks FBM ACE mengukuh 107.12 mata kepada 5,842.78.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.36 mata kepada 17,560.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.74 mata kepada 200.87, dan Indeks Tenaga melonjak 32.94 mata kepada 1,012.24, tetapi Indeks Perladangan turun 36.33 mata kepada 7,027.82.

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 3.62 bilion unit bernilai RM3.76 bilion daripada 4.27 bilion unit bernilai RM4.23 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran kekal pada 1.04 bilion unit tetapi dengan nilai lebih tinggi sedikit sebanyak RM123.85 juta berbanding RM121.33 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 1.25 bilion saham bernilai RM471.26 juta daripada 2.27 bilion saham bernilai RM921.62 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 559.78 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (736.86 juta), pembinaan (322.89 juta), teknologi (695.66 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (95.70 juta), hartanah (379.04 juta), perladangan (25.57 juta), REIT (13.74 juta), dana tertutup (32,700), tenaga (370.49 juta), penjagaan kesihatan (165.94 juta), telekomunikasi dan media (59.31 juta), pengangkutan dan logistik (86.03 juta), utiliti (106.64 juta) dan amanah perniagaan (663,100). -- Bernama

Berita Harian X