Selasa, 4 Jun 2024 | 7:20pm
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 666 berbanding 545 - Gambar fail NSTP
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 666 berbanding 545 - Gambar fail NSTP

Bursa Malaysia cemerlang melonjak 18.72 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup kukuh pada Selasa melonjak lebih satu peratus disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah susulan jualan besar-besaran pada minggu lalu, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 18.72 mata atau 1.17 peratus kepada 1,615.40 daripada paras penutup 1,596.68 pada Jumaat minggu lalu.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka rendah susut 0.74 kepada 1,595.94, turun naik antara paras 1,595.35 dan 1,617.41 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 666 berbanding 545, dengan 467 kaunter tidak berubah, 674 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 4.46 bilion unit bernilai RM3.94 bilion daripada 5.45 bilion unit bernilai RM6.84 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup tinggi hari ini apabila aktiviti membeli saham berharga rendah muncul susulan aktiviti jualan pada minggu lalu.

"Sementara itu, indeks utama serantau ditutup bercampur-campur. Bagaimanapun, belian saham teknologi kekal kukuh dipacu oleh permintaan tinggi berterusan terhadap kecerdasan buatan (AI) dan sektor berkaitan, susulan pengumuman cip AI generasi baharu bagi 2025 dan pembangunan platform generasi seterusnya, Rubin, bagi 2026 oleh Nvidia, semasa persidangan komputer di Taiwan," katanya kepada Bernama.

Pak Leng berkata, beliau optimis terhadap bursa tempatan memandangkan sentimen pelabur yang semakin bertambah baik.

"Susulan kembalinya semula dana asing ke dalam pasaran dan jumlah dagangan harian yang kukuh kira-kira 4.5 bilion saham bernilai hampir RM4 bilion, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,610 hingga 1,630 bagi minggu ini dengan paras rintangan segera diunjurkan pada 1,615 dan paras sokongan pada 1,600," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 13.0 sen kepada RM10.06, Public Bank meningkat 5.0 sen kepada RM4.15, CIMB Group menokok 15.0 sen kepada RM6.99, IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.19 manakala Tenaga Nasional Bhd susut 6.0 sen kepada RM12.98.

Dalam kalangan kaunter cergas, JCY International naik 7.0 sen kepada 59.5 sen, SNS Network Technology meningkat 5.0 sen kepada 65.5 sen dan Sealink International menokok 2.5 sen kepada 30.5 sen. MY E.G. Services dan Velesto Energy kedua-duanya tidak berubah masing-masing kepada RM1.10 dan 26.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 116.97 mata kepada 12,278.49, Indeks FBMT 100 meningkat 114.31 mata kepada 11,883.97, Indeks FBM Emas Shariah naik 111.29 mata kepada 12,503.65, Indeks FBM 70 menokok 73.86 mata kepada 17,555.40 manakala Indeks FBM ACE menambah 34.47 mata kepada 5,424.04.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 197.66 mata kepada 17,723.88, Indeks Perindustrian naik 2.03 mata kepada 196.89 dan Indeks Perladangan menambah 107.60 mata kepada 7,179.00.

Sementara itu, Indeks Tenaga susut 0.51 mata kepada 966.85 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Pengguna turun 0.92 mata kepada 598.10.

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 2.57 bilion unit bernilai RM3.50 bilion daripada 3.36 bilion unit bernilai RM6.40 bilion pada Jumaat minggu lalu.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 922.85 juta unit bernilai RM105.78 juta daripada 1.29 bilion unit bernilai RM163.14 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 955.62 juta saham bernilai RM332.94 juta daripada 744.46 juta saham bernilai RM278.92 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 376.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (494.43 juta), pembinaan (238.60 juta), teknologi (453.62 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (119.68 juta), hartanah (295.52 juta), perladangan (33.29 juta), REITs (159.27 juta), dana tertutup (13,700), tenaga (166.86 juta), penjagaan kesihatan (77.05 juta), telekomunikasi dan media (80.25 juta), pengangkutan dan logistik (155.72 juta), utiliti (70.05 juta) dan amanah perniagaan (231,500).

-BERNAMA

Berita Harian X