Isnin, 20 Mei 2024 | 8:33pm
Ringgit meningkat kepada 4.6850/6875 berbanding dolar AS - Gambar hiasan
Ringgit meningkat kepada 4.6850/6875 berbanding dolar AS - Gambar hiasan

Ringgit terus disokong baik pada RM4.68 sedolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup tinggi pada Isnin, didorong minat belian baharu susulan keyakinan terhadap potensi pengurangan kadar faedah di AS, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6850/6875 berbanding dolar AS daripada 4.6865/6890 pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sentimen pasaran kekal positif dengan ringgit terus disokong baik pada RM4.68, manakala Indeks Dolar AS (DXY) stabil pada sekitar 104 mata.

Beliau berkata, siri ucapan daripada pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) minggu ini dijangka membentuk jangkaan pasaran.

Minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka (FOMC) yang akan dikeluarkan pada 23 Mei akan membantu pasaran untuk lebih memahami pemikiran kalangan ahli Rizab Persekutuan (Fed).

"Nampaknya jangkaan bagi penurunan kadar faedah di AS telah meningkat sejak awal Mei. Walau bagaimanapun, situasi semasa masih sangat tidak menentu kerana Fed kekal cenderung kepada kadar faedah tinggi berdasarkan penilaian inflasi, jadi pergerakan ringgit dijangka kekal dalam julat kecil bagi tempoh terdekat," katanya.

Pada penutupan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.0084/0104 daripada 3.0071/0089 ketika ditutup Jumaat lalu dan turun berbanding euro kepada 5.0921/0948 daripada 5.0816/0843.

Mata wang tempatan susut berbanding pound British kepada 5.9518/9550 daripada 5.9303/9335 Jumaat lalu.

Unit domestik didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.09/8.10 daripada 8.13/8.14 serta tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 293.1/293.5 daripada 293.6/294.0 Jumaat minggu lalu.

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4809/4831 daripada 3.4784/4806 ketika ditutup pada Jumaat lepas dan lemah berbanding baht Thailand kepada 12.9987/13.0100 daripada 12.9390/9516.

-BERNAMA

Berita Harian X